Oleh Nurdiyanah R. –
ANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pengurusan Pendidik dengan kerjasama Jabatan Sekolah-sekolah hari ini telah mengadakan Konvensyen Pemimpin Sekolah ke-7 Tahun 2025 bertempat di Dewan Persidangan BRIDEX, Jerudong.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan konvensyen serta melancarkan Buku Panduan Pelaksanaan Kegiatan Kokurikulum ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.
Buku Panduan Pelaksanaan Kegiatan Kokurikulum yang diterajui oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum itu merupakan hasil usaha sama pelbagai pihak di Kementerian Pendidikan, termasuk pemimpin-pemimpin sekolah melalui platform Konvensyen Pemimpin Sekolah serta pelaksanaan secara berfasa di sekolah-sekolah sejak tahun 2023. Buku panduan berkenaan juga digunakan sebagai panduan pihak sekolah dalam mentadbir dan mengurus kegiatan kokurikulum melalui Program Sahsiah Pelajar (PSP).
Melalui kegiatan kokurikulum tersebut, ia dapat menyediakan pelbagai bentuk pengetahuan dan pengalaman yang menyumbang kepada perkembangan holistik pelajar merangkumi aspek intelektual, mental, emosi, fizikal dan sosial.
Selain itu, kegiatan kokurikulum turut berperanan dalam mengembangkan potensi dan bakat pelajar, di samping membentuk perwatakan serta tingkah laku yang mulia, selaras dengan nilai-nilai murni berpaksikan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB).
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat diikuti ucapan alu-aluan daripada Pengarah Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Hajah Marina Chek binti Bujang, selaku Pengerusi Bersama Konvensyen Pemimpin Sekolah ke-7.
Dalam ucapannya, Hajah Marina Chek merakamkan harapan agar buku panduan tersebut dapat memberikan panduan yang diperlukan untuk para pemimpin sekolah, dan pada masa yang sama membolehkan mereka mempunyai pemahaman yang lebih baik dalam perancangan dan pelaksanaan aspek penting pendidikan dalam sistem persekolahan negara kita.
Selain itu, beliau turut menyatakan dalam konvensyen kali ini, pemimpin-pemimpin sekolah berpeluang mendengar dan mendapatkan maklumat langsung daripada panel-panel forum yang akan membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan dasar, garis panduan dan protokol, serta amalan terbaik yang telah dijalankan di sekolah tertentu, bersesuaian dengan tema konvensyen.
Hajah Marina Chek juga menekankan kemahiran-kemahiran seperti pemikiran kritis dan kreativiti termasuk kebolehan menganalisis maklumat dan membuat pertimbangan yang wajar, selain keupayaan menjana idea, berfikir di luar kotak dan membangunkan penyelesaian inovatif amat mustahak dalam melengkapkan pelajar-pelajar ‘future-ready’ dalam dunia yang berkembang pesat ini.
Acara diteruskan dengan ucaptama bertajuk The CCA Approach and LEAPS Framework in Singapore Schools yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar, Pejabat Penyelarasan Pembangunan Pelajar, Kementerian Pendidikan, Republik Singapura, Lim Cheng Tju.
Seramai 426 orang jemputan dan peserta yang terdiri daripada pemimpin sekolah rendah, menengah, maktab dan pusat tingkatan enam kerajaan dan swasta di bawah Kementerian Pendidikan serta Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah menghadiri konvensyen berkenaan.
Dengan tema Pemimpin Berkualiti, Pendidikan Berkualiti, konvensyen itu bertujuan mengukuhkan kapasiti dan kompetensi pemimpin sekolah, peningkatan akauntabiliti bersama di antara jabatan dan sekolah dalam pelaksanaan inisiatif-inisiatif Kementerian Pendidikan, serta pengiktirafan terhadap sumbangan dan pencapaian sekolah-sekolah.
Konvensyen itu diakhiri dengan penyampaian surat pelantikan pemimpin-pemimpin sekolah baharu serta penyampaian insentif kepada sekolah-sekolah kerajaan yang telah mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan awam dan pencapaian lain.
Turut hadir, Pemangku Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan dan KHEU.