Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kukuhkan pendekatan berasaskan komuniti

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan (AMRDPE) ke-13 telah berlangsung di Singapura pada 22 November lalu dengan tema Strengthening Community-based Approaches and Social Protection for Poverty Alleviation.

    Ia mengetengahkan pembasmian kemiskinan di rantau ASEAN dengan bertukar-tukar pandangan dan amalan terbaik serta menyediakan panduan strategik dan hala tuju dasar mengenai kerjasama pembangunan serantau untuk menambah baik kehidupan rakyat yang kurang berkemampuan.

    Hadir mewakili Negara Brunei Darussalam pada mesyuarat berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Yang Berhormat Dato antara lain menekankan peranan Sistem Kebajikan Negara sebagai alat penting dalam menyediakan platform utama untuk memohon bantuan kebajikan, serta menjana data berkaitan kemiskinan yang berharga yang boleh membantu dalam pembentukan program yang disasarkan bagi memperkasa golongan yang memerlukan.

    Di samping itu, Yang Berhormat Dato juga menegaskan peranan penting para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung dalam pembangunan sosioekonomi masyarakat.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bergambar ramai bersama perwakilan negara anggota ASEAN yang menghadiri mesyuarat di Singapura. – GAMBAR SERAHAN KKBS

    Beliau juga berkongsi bahawa pengkajian semula skim perkhidmatan penghulu mukim dan ketua kampung, khususnya penurunan syarat umur kelayakan, telah meluaskan kumpulan pemimpin masyarakat akar umbi untuk juga merangkumi golongan belia yang mana lebih 20 peratus daripada pemegang jawatan tetap pemimpin akar umbi adalah berumur 40 tahun dan ke bawah.

    Yang Berhormat Dato seterusnya menekankan komitmen dan sokongan kerajaan terhadap usaha berasaskan komuniti melalui badan-badan bukan kerajaan, untuk mengurangkan kemiskinan dan merapatkan jurang pembangunan di Negara Brunei Darussalam
    melalui pendekatan senegara.

    Pada tahun ini, Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) yang diwakili oleh Pengurus Korporat, Haji Mohd Jaafar bin Haji Awang Bakar, dan Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) yang diwakili oleh Presiden, Awang Mohd Yusof bin Abdul Halim masing-masing menerima anugerah di bawah kategori Sektor Swasta dan kategori Badan Bukan Kerajaan, atas sumbangan besar mereka dalam membantu memperkasakan golongan kurang berkemampuan di Brunei.

    Pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura, Tuan Yang Terutama Masagos Zulkifli itu, menteri-menteri telah mengesahkan Kenyataan Bersama yang antara lainnya bersetuju untuk mengukuhkan pendekatan berasaskan komuniti bagi dalam dan luar bandar dalam pembentukan, pelaksanaan dan penilaian langkah-langkah perlindungan sosial yang menyasarkan golongan miskin dan yang memerlukan, serta memperkasa langkah-langkah yang mendukung pembangunan perusahaan tempatan di dalam dan luar bandar.

    Sidang menteri juga menugaskan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan (SOMRDPE) untuk bekerjasama merentasi sektor dan tonggak dengan badan sektor ASEAN yang berkaitan dan rakan kongsi ASEAN untuk mempercepatkan pelaksanaan Pelan Tindakan Rangka Kerja ASEAN mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian

    Kemiskinan 2021-2025 untuk memastikannya siap menjelang 2025, dan pengoperasian Pelan Induk ASEAN mengenai Pembangunan Luar Bandar, serta rangka kerja ASEAN lain yang berkaitan seperti Kenyataan Bersama Pemimpin ASEAN mengenai Penubuhan Rangkaian Kampung ASEAN.

    Mesyuarat AMRDPE ke-13 didahului oleh Forum ASEAN Public Private People Partnership ke-12 mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan pada 20 November dan Mesyuarat SOMRDPE ke-20 serta Mesyuarat SOMRDPE Campur Tiga ke-16 pada 21 November.

    Anugerah Kepimpinan Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan ASEAN ke-6 pula telah diadakan pada 21 November di Marina Bay Sands Expo and Convention Centre, untuk mengiktiraf peranan, pencapaian cemerlang dan sumbangan pertubuhan bukan kerajaan dan sektor swasta di negara anggota ASEAN terhadap pengurangan kemiskinan dalam kalangan masyarakat setempat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda