Saturday, September 14, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kukuhkan penguasaan bahasa Arab

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Sebagai salah satu inisiatif bagi mengukuhkan penguasaan bahasa Arab dalam kalangan pelajar, Program Hayya Ilal ‘Arabiyah (Mari Berbahasa Arab) anjuran Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS) telah dilancarkan pembukaannya pagi tadi, bertempat di sekolah tersebut.

    Pelancaran tersebut yang merupakan salah satu inisiatif di bawah Jabatan Pengajian Islam (JPI), telah disempurnakan oleh Pemangku Penolong Pengarah (Profesional) JPI, Haji Ayop bin Haji Ghani selaku tetamu kehormat majlis.

    Program itu diadakan bagi memupuk minat dan meningkatkan kemahiran penggunaan bahasa Arab dalam kalangan pelajar sekolah Arab, yang bertemakan Bahasa Arab Melalui Sukan.

    Berunsurkan tema tersebut, program itu juga bertujuan bagi memupuk semangat kesukanan dalam kalangan pelajar dengan menerapkan penggunaan bahasa Arab dalam aktiviti sukan dan permainan.

    Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Ali Moustafa Ali Saghir, disusuli dengan ucapan daripada Pemangku Pengetua SUAMPRIPAHS, Dayangku Aidi Noorintan binti Pengiran Haji Mohd Zinin, dan diteruskan dengan lawatan ke khemah-khemah rumah sukan dan acara permainan dari beberapa buah syarikat luar serta dimeriahkan dengan bazar.

    Terdahulu, Pemangku Pengetua SUAMPRIPAHS dalam ucapannya menjelaskan mengenai objektif program tersebut iaitu untuk meningkatkan keupayaan pelajar berkomunikasi dalam bahasa Arab yang mudah; memupuk kerjasama antara pelajar ketika menjalankan aktiviti; membina semangat berpasukan dan persaingan sihat di kalangan pelajar; serta mendedahkan mereka dengan kosa kata bahasa Arab baharu yang berkaitan dengan sukan, permainan dan kesihatan.

    Perisian program adalah mengikut Mukhayyamat ar-Riadhah yang bermaksud khemah-khemah rumah sukan yang mana Unit Sukan dan Riadah telah membahagikan warga madrasah kepada empat buah rumah sukan yang bertemakan alam semesta iaitu Al-Bahru, A-Ardh, Al-Qamar dan As-Syams.

    Setiap rumah akan menyediakan lima jenis permainan yang bertemakan karnival dan permainan dibentangkan, dilabel dan diberi arahan menggunakan bahasa Arab.

    Dengan adanya program tersebut, ia diharap akan dapat menambah lagi minat pelajar terhadap bahasa Arab melalui aktiviti-aktiviti sepanjang program berkenaan dijalankan dan juga akan dapat meningkatkan kemahiran pelajar dalam bertutur dan berani tampil di hadapan khalayak umum dengan berbahasa Arab.

    Haji Ayop merasmikan majlis berkenaan yang diadakan di SUAMPRIPAHS. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Haji Ayop bergambar ramai di salah sebuah petak pameran. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Antara aktiviti yang dikendalikan oleh pelajar SUAMPRIPAHS. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda