Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar telah menganjurkan kuliah khas yang bertajuk ‘Kecerdasan Kalbu’ di masjid berkenaan, kelmarin.
Kuliah khas itu telah disampaikan oleh Kaunselor Profesional Mejar (B) Rusli Bin Bujang yang menjelaskan kecerdasan kalbu itu adalah sebuah pemangkin perkongsian ilmu bertujuan untuk mencelikkan akal yang berharga mengenai potensi kalbu yang sebenarnya.
“Ini dilakukan dengan memerhatikan elemen keagamaan secara saksama dan memaknakan segenap segi peribadatan dengan cara yang berfaedah bermula dari dalam diri sendiri (kalbu),” tambahnya.
Kuliah khas itu turut dihadiri oleh penaung-penaung bersama MRSB, Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong dan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin serta jemaah masjid berkenaan.
