Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan KSSUP
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Hidangan kulinari inovatif yang menggabungkan hidangan manisan tempatan dengan hidangan moden diketengahkan oleh sebuah restoran tempatan di Kitchen Table, Kiulap, kelmarin.
Acara yang dikendalikan oleh Nona Manis itu menawarkan para pengunjung peluang untuk menikmati pelbagai jenis manisan dan pencuci mulut sebagai usaha untuk mempromosikan industri pelancongan makanan Brunei semasa Minggu Gastronomi.
Nona Manis merupakan salah sebuah daripada 16 buah establismen yang mengambil bahagian secara aktif dan memberikan sokongan kepada Minggu Gastronomi 2021: Selera Bruneiku.
Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong merupakan antara yang menghadiri acara berkenaan di mana antara hidangan yang diketengahkan adalah Pandan Gula Melaka Tarte Opera, Talam Keladi Petit Fours, Mango Coconut Charlotte, Coconut Creme De Vainilla dan Ondeh Ondeh Petit Gateau.
Minggu Gastronomi Brunei yang dilancarkan oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan merupakan satu inisiatif untuk menggalakkan lebih banyak restoran dan syarikat hidangan makanan untuk menyajikan masakan Brunei serta mengetengahkan hidangan masakan Brunei bagi pengamalan hidangan yang lebih menarik.

