Kulit, empat janin harimau dirampas

JAKARTA, 9 DIS – Kulit harimau Sumatera dan empat janin telah dirampas selepas beberapa pemburu ditahan, kata polis Indonesia.

Suspek mungkin telah merancang untuk menjual kulit kepada seorang pengumpul asing, sementara tulangnya dijual sebelum itu, kemungkinan untuk digunakan dalam produk perubatan yang popular di beberapa kawasan Asia, kata pihak berkuasa.

Masih tidak jelas bagaimana janin, yang disimpan dalam balang, akan digunakan. Bukti berkenaan dikemukakan oleh polis pada satu taklimat media semalam selepas mereka mengumumkan tiga orang telah ditahan pada hujung minggu.

“Kami mengesyaki mereka akan menjual kulit kepada pengumpul, bukan sahaja di Indonesia,” beritahu Edward Hutapea, ketua penguat kuasa hidupan liar di Pekanbaru di pulau Sumatera, kepada AFP hari ini.

Suspek sebelumnya telah menjual kulit harimau lain, tetapi belum mengeluarkan kulit kedua dan janin, kata beliau, menambah haiwan yang masih belum dilahirkan adalah daripada harimau yang dijual pada awal tahun ini.

Jika disabit bersalah, ketiga-tiga mereka mungkin menghadapi hukuman penjara lima tahun.

Pemburuan bertanggungjawab terhadap hampir 80 peratus daripada kematian harimau Sumatera, menurut TRAFFIC, rangkaian pengawasan perniagaan hidupan liar global.

Harimau Sumatera dianggap terancam oleh kumpulan perlindungan Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam, dengan kurang daripada 400 dipercayai masih tinggal dalam hutan. – AFP

Gambar yang diambil pada 7 Disember menunjukkan rampasan kulit harimau Sumatera dan empat janin harimau dalam balang, dipamerkan pada sidang media selepas tiga lelaki ditangkap oleh kumpulan penguatkuasa hidupan liar ketika mereka cuba menjual produk berkenaan di Pekanbaru, Riau. – AFP