LADA Benggala atau capsicum merupakan sayuran yang menjadi pilihan dalam pelan pemakanan sihat pada masa kini.
Sayuran ini rendah kalori dan tidak mengandungi lemak serta membekalkan vitamin dan mineral yang banyak. Sayuran ini dikatakan berasal dari Mexico dan Amerika Tengah.
Tetapi kini ia banyak ditanam di negara bersuhu panas untuk dijadikan sebagai rempah, sayuran dan ubat. Lada Benggala memiliki pelbagai variasi dan nama bergantung kepada tempat dan jenisnya. Ia memiliki pelbagai warna daripada hijau, merah, kuning, oren, ungu, coklat sehinggalah hitam. Walaupun warnanya berbeza, semua jenis lada Benggala ini tergolong dalam tanaman yang dikenali dengan nama saintifiknya, Capsicum annuum.
Rupa lada Benggala adalah seperti loceng yang memiliki lobus atau cuping sebanyak tiga atau empat. Lada Benggala berwarna hijau dan ungu memiliki rasa yang sedikit pahit. Sementara warna merah, oren dan kuning lebih manis seperti rasa buah.
Di dalam lada Benggala terdapat antioksidan dan zat fito anti keradangan. Zat fito ini termasuklah flavonoid dan asid hydroxycinnamic. Terdapat juga karotenoid seperti alpha-karotena, beta-karotena, cryptoxanthin, lutein dan zeaxanthin.

Lada Benggala juga kaya dengan sumber vitamin A, C, B6, B1, B2, B3, B5, E, serat, folat, kalium, vitamin K, mangan dan magnesium. Berikut adalah kebaikan lada Benggala untuk kesihatan tubuh.
Kurangkan tahap kolestrol
Bahan utama yang mengawal kepedasan dalam lada Benggala dikenali sebagai capsaicin dan ia hanya dijumpai dalam jumlah yang kecil. Capsaicin memiliki sifat-sifat antibakteria, anti karsinogenik, analgesic dan anti diabetik.
Sebagai perangsang kardiovaskular, lada Benggala dikatakan mampu membantu dalam merendahkan tekanan darah dan memecahkan pembinaan kolestrol.
Ciri-ciri pemanasan dalam lada Benggala dikatakan amat berguna untuk merawat masalah peredaran yang kurang baik pada kaki dan tangan.
Ia dikatakan mampu mengurangkan tahap kolestrol LDL buat mereka yang obes. Capsaicin juga mampu meningkatkan kadar metabolik tanpa menaikkan tekanan darah dan kadar denyut jantung sekali gus membantu dalam mengurangkan berat badan.
Merangsang peredaran darah
Warna merah lada berikutan dengan kandungan vitamin A yang tinggi. Lada Benggala telah digunakan selama berdekad sebagai mangkin untuk herba-herba lain.


Disebabkan lada Benggala mampu merangsang peredaran dan mempertingkatkan aliran darah, ia dikatakan boleh dipertimbangkan sebagai makanan untuk sistem peredaran.
Melegakan kesakitan disebabkan ulser
Lada Benggala juga dikatakan boleh digunakan sebagai bahan pembantu pencernaan untuk melegakan keradangan usus, merangsang perlindungan membran mukus pada perut dan melegakan kesakitan yang disebabkan oleh ulser.
Baik untuk penglihatan
Kaya dengan vitamin C dan mampu membantu mencegah kebutaan waktu malam. Kehadiran karotenoid dalam lada Benggala mampu merendahkan risiko kemerosotan makula dan membantu mengekalkan penglihatan yang sihat.
Mencegah kekurangan zat besi
Vitamin C dalam lada Benggala dikatakan mampu membantu dalam penyerapan zat besi. Ini akan mencegah kekurangan besi dan anemia.
Mencantikkan kulit wajah
Pengambilan lada Benggala mampu membantu dalam penghasilan kolagen, satu bahan yang bertanggungjawab dalam kulit sihat dan anjal.
Antioksidan dan fitokimia dalam lada Benggala juga mampu membantu kulit kekal muda.