BENEDICT Jebakumar merupakan lelaki yang sedang menyempurnakan misi. Sejak 2012, dia telah mendedikasikan masa lapangnya menyapu paku di Bangalore Outer Ring Road yang sengaja diletakkan di sana oleh pengendali bengkel kereta berhampiran untuk meningkatkan keuntungan mereka. Sejak lima tahun lepas, jurutera India itu memberitahu bahawa dia telah mengumpulkan lebih dari 50 kilogram paku dari jalan.
Semuanya bermula apabila Benedict Jebakumar menyedari tayarnya selalu pancit apabila melalui kawasan jalan Outer Ring Road untuk pergi ke pejabatnya dari rumahya di Banashankari, atau sebaliknya. Pada mulanya, dia tidak begitu memikirkannya sehinggalah dia menyedari bengkel-bengkel kereta di sepanjang jalan tersebut selalu sibuk membaiki tayar-tayar pancit di sana. Dia kemudian menyedari setiap kali tayarnya pancit, ia disebabkan oleh paku-paku yang berada di jalan berhampiran dengan bengkel-bengkel kereta tersebut. Dia pernah mengadu mengenai hal itu kepada pihak berkuasa, namun mereka tidak bersungguh-sungguh untuk menolong. Ketika itulah dia membuat keputusan untuk membersihkan jalan demi kebaikannya dan semua pemandu di sana.
Sejak 2012, Jebakumar telah mula mencari paku besi di Outer Ring Road. Dia akan mengutipnya menggunakan tangan, namun dia kemudian sedar ia sangat memakan masa dan tidak berkesan. Jadi dia membina sebuah alat untuk membantunya membersihkan jalan dari paku-paku besi. Dia menggunakan alat pancingnya yang telah rosak dan mengubahsuainya dengan melekatkan besi berani di hujung pancing itu. Ia juga mudah dilipat. “Ini juga seperti memancing kan?” kata jurutera yang berumur 44 tahun itu.
Benedict meninggalkan rumahnya pada pukul 7 pagi dan berhenti di beberapa bahagian di Outer Ring Road untuk memastikan tiada paku di sana. Dia melakukan perkara yang sama setelah balik dari kerja kerana pengendali bengkel-bengkel kereta di sana selalunya meletakkan paku baru selepas dia pergi. Kadang-kadang, paku yang dikumpulkannya terlalu banyak sehingga dia perlu balik semula untuk mengambil beg lain untuk menyimpan paku yang belum di kutip. Contohnya, pada 21 Mac 2016, dia mengutip sebanyak 1,654 paku dari jalan. Dia menyimpan semua paku-paku yang telah dikutipnya sejak tahun 2012 dan memberitahu bahawa ia telah mencecah lebih 50 kilogram.
Pembersih jalan sukarelawan itu tidak lagi memandu kereta untuk pergi ke tempat kerjanya sejak beberapa tahun lalu kerana khuatir tayarnya akan pancit lagi. Dia sekarang menunggang basikal dan sentiasa memerhatikan jalan untuk mengelakkan dari terkena paku.
“Syukurlah, sejak tahun lepas saya tidak lagi mengalami tayar pancit, walaupun perbuatan saya itu mengancam pendapatan masyarakat. Ini kerana saya sentiasa berwaspada dan memerhatikan jika ada paku dan bahan lain di jalan. Keluarga saya kadang-kadang berasa lucu,” katanya kepada Citizen Matters dua tahun lalu.
Untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu ini, Benedict Jebakumar juga telah membuat di laman Facebook bertajuk ‘My Road, My Responsibility’ (‘Jalan saya, tanggungjawab saya’). Dia mendokumenkan ‘tangkapan’ hariannya dan memuat naik gambar-gambar paku yang dikutipnya. Dia berharap pemandu lain juga akan menyedari akan bahaya yang terdedah kepada mereka yang memandu di jalan yang penuh dengan jerat. Dia juga berharap ia akan memberi inspirasi kepada mereka untuk mengambil tindakan. Perkara paling penting yang boleh mereka lakukan adalah mengadukan perkara ini kepada pihak berkuasa. Lebih banyak aduan mereka terima, lebih besar kemungkinan mereka akan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada terhadap penipuan yang dilakukan oleh pengendali bengkel kereta di sana.
Benedict memberitahu setakat ini pihak berkuasa tidak memberikan perhatian penuh kepada isu itu. “Dua penangkapan telah dibuat sebelum ini namun pelakunya dibebaskan selepas tiga bulan dan paku-paku diletakkan lagi di jalan,” katanya kepada Economic Times. Jebakumar akan membersihkan jalan itu sendiri sehingga masalah itu diselesaikan oleh pihak berkuasa. “Saya akan meneruskannya kerana saya membantu ramai orang,” katanya.
Menariknya, pada tahun 2015, apabila ditanya oleh The News Minute, dia memberitahu tidak ada seorang pun pejalan kaki yang pernah bertanya apa yang dibuatnya dengan pancing rosak. “Ia merupakan dunia yang pantas sehinggakan tiada seorang pun yang menyedari ada lelaki yang berjalan-jalan di jalan yang sesak sedang mencari sesuatu. Mereka juga tidak menyedari yang paku-paku ini mengancam kenderaan mereka,” katanya.