HAWAII – Pada permulaannya, Genshu Price mengitar semula barangan untuk dirinya sendiri – bapanya berkata ia adalah cara yang lebih baik untuk menabung untuk membiayai kelas tuisyen di kolej.
Tetapi selepas itu, dia mempunyai satu idea iaitu mengapa tidak mengitar semula ribuan botol dan tin minuman bagi membantu pelajar lain di Hawaii untukmencapai impian mereka untuk memasuki kolej.
“Dengan cara itu, ia akan membantu lebih ramai keluarga di kawasan ini dan menolong lebih ramai orang dari pelbagai generasi,” kata Price.
Remaja berusia 13 tahun dari Oahu itu melancarkan Bottles4College tiga tahun lalu. Matlamatnya adalah untuk mengumpulkan dan mengitar semula dua hingga empat juta tin minuman dan botol setiap tahun untuk membiayai kelas tuisyen di kolej untuk dua orang pelajar. Price berkata projek tersebut ‘mencuri tumpuan’ semasa pandemik koronavirus.
“Orang ramai berkata dengan cara ini ia akan dapat memberikan peluang kepada penduduk setempat lebih-lebih lagi sejak pandemik menjejaskan semua orang termasuk kanak-kanak,” katanya. Pada masa yang sama, mereka akan melindungi alam sekitar dan mengekalkan kebersihan pulau.
Sementara itu, ibunya, Maria Price, mengimbau kembali bagaimana Price mula mengunjungi pantai, ke tempat orang ramai bermain besbol di Little League dan ke taman-taman sambil bertanyakan, “Adakan anda sudah habis meminum minuman anda?” bagi mengumpulkan botol dan minuman tin mereka, yang mana dia melakukan aktiviti tersebut dengan bantuan ibu bapanya.
Sejak itu, dia telah mengumpulkan lebih 100,000 botol dan tin minuman serta dengan sokongan daripada pihak perniagaan dan sekolah-sekolah, membangunkan tempat untuk membuang barangan kitar semula di beberapa tempat seperti Sekolah Tadika Mililani Uka, Taman Simpanan Kualoa Ranch dan Sekolah S.W. King, sekolah Price pada ketika ini.
“Hawaii merupakan sebuah tempat yang mempunyai kos sara diri yang tinggi dan COVID-19 telah menjadikan keadaan bertambah susah,” tambah Price. “Saya ingin memberikan jalan kepada pelajar-pelajar yang tidak mampu untuk melanjutkan pelajaran di kolej dengan pembiayaan mereka sendiri.”
Bottle4College, menurut Price, adalah berasaskan empat tonggak utama iaitu pendidikan, alam sekitar, komuniti dan gaya hidup. “Kami membantu alam sekitar dengan mengitar semula barangan yang terbuang,” katanya. “Manakala kami membantu pendidikan dengan membiayai pelajar-pelajar Hawaii dengan biasiswa wang dan memberikan inspirasi kepada mereka untuk mengejar pengajian yang lebih bagus. Secara tidak langsung kami telah menyatupadukan komuniti.”
Itulah gaya hidup, ujarnya, kerana tonggak lain menjadi sebahagian daripada hidup anda.
Price, yang tidak lama lagi akan menjadi pelajar Tahun 8, turut menjadi seorang pencipta filem yang memberikan aspirasi, di mana dia menghasilkan dokumentari yang menayangkan kerjanya. Dia memuat naik video ke laman media sosial seperti YouTube, termasuk memberikan petua mengenai cara-cara untuk mengasingkan botol dan tin minuman serta memberi galakan kepada orang lain untuk mengitar semula barangan yang terbuang.
“Kami masih ada sedikit yang perlu dilakukan untuk sampai ke tahap yang saya inginkan, tetapi ia sememangnya sesuatu yang mengujakan. Setiap tin minuman pasti akan dikira, tidak kira satu tin minuman atau botol bagi setiap satu masa,” tambahnya.
Mengambil berat terhadap orang lain, kata Price, adalah sesuatu yang lebih penting semasa saat mencabar ini di mana orang ramai lebih terkesan dengan kehilangan pekerjaan dan sebagainya.
“Di sekolah, mereka mengajar bagaimana melayan orang lain sama seperti bagaimana anda ingin dilayan,” katanya.
“Dan terutama pada masa-masa ketika pandemik melanda, sikap sebegini amat bermakna,” kata Price. – AP