Thursday, September 19, 2024
34.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kumpulan All One MOH juara pertandingan qasidah

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Kumpulan All One MOH dari Jabatan Pentadbiran dan Kewangan dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan qasidah yang dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Renal dan Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan pada majlis yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Kumpulan Qaisarah Qalbee dari Hospital Suri Seri Begawan, Belait meraih tempat kedua, manakala tempat ketiga disandang oleh Kumpulan Az-Zuhrah dari Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam, Temburong sementara Kumpulan An Naura dari Jabatan Perkhidmatan Renal meraih tempat keempat.

    Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku tetamu kehormat.

    Pertandingan qasidah ini diadakan buat julung kalinya sebagai salah satu acara sempena Sambutan Maulidur Rasul bagi memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

    Acara tersebut bertujuan memperkukuh kecintaan terhadap Baginda melalui pujian dan selawat, selain menggalakkan penglibatan lebih aktif pegawai serta kakitangan Kementerian Kesihatan dalam aktiviti keagamaan dan kebudayaan.

    Sebanyak empat kumpulan mengambil bahagian dalam pertan-dingan tersebut, iaitu Kumpulan All One MOH, Kumpulan Qaisarah Qalbee, Kumpulan Az-Zuhrah dan Kumpulan An-Naura.

    Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan qasidah oleh para pelajar Sekolah Al-Falah, yang diundang khas bagi menyerikan lagi acara tersebut.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Guru Ugama Tingkat 2, Jabatan Perkhidmatan Renal, Haji Mohammad Azmi bin Haji Tapau, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada pengerusi majlis.

    Turut hadir pada majlis Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin, timbalan setiausaha tetap (Profesional) Kementerian Kesihatan, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham hadir pada majlis yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara kumpulan yang ikut serta dalam pertandingan tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda