SRINAGAR, Kashmir, 31 Ogos – Kumpulan lelaki bersenjata telah menculik tujuh orang daripada ahli keluarga yang bekerja dengan anggota polis di Kashmir yang dikawal oleh India, menurut laporan hari ini.
Kejadian penculikan itu berlaku di Shopian, Pulwama, Kulgam dan Anantnag semalam.
“Kami mendengar tentang penculikan saudara-mara dan anak-anak anggota polis dari beberapa tempat yang berbeza dan berusaha untuk mengumpul butiran-butiran,” kata seorang pegawai polis, yang tidak dibenarkan bercakap kepada pihak media. “Kami mengesyaki kumpulan militan (dalang) dalam perkara ini.”
Walau bagaimanapun, polis belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung penculikan ini.
Penduduk tempatan semalam mengadakan tunjuk perasaan terhadap dakwaan penangkapan anggota keluarga militan dan membakar dua buah rumah milik kumpulan militan di Shopian.
Selain itu, ahli keluarga mangsa yang diculik dari Tral telah merayu kepada penculik supaya melepaskan anak-anak mereka. Video tular di media sosial menunjukkan seorang ibu merayu untuk pembebasan anak mereka.
Setakat ini tiada kumpulan militan mengaku bertanggungjawab atas penculikan tersebut.
Perang gerila sedang berlaku antara kumpulan militan dan pasukan India yang ditempatkan di rantau ini sejak tahun 1989 lagi. – Xinhua