Sunday, November 17, 2024
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kumpulan bersenjata Myanmar setuju lanjutkan gencatan senjata

    YANGON, 21 JULAI – Gabungan kumpulan bersenjata di Myanmar telah bersetuju untuk melanjutkan gencatan senjata dengan junta di negeri Shan utara selepas menerima ‘tekanan’ daripada China, kata seorang pemimpin salah satu kumpulan itu, kelmarin.

    Gencatan senjata, yang dilanjutkan hingga 31 Julai, dibuat selepas pertempuran menyaksikan pejuangnya merampas wilayah daripada tentera di sepanjang lebuh raya strategik ke China.

    Kawasan itu telah dibelenggu pertempuran sejak akhir bulan lalu, apabila Three Brotherhood Alliance melancarkan serangan baharu ke atas tentera junta di sepanjang jalan menuju wilayah Yunnan di China.

    Perikatan kumpulan bersenjata etnik minoriti, terdiri daripada Tentera Perikatan Demokratik Kebangsaan Myanmar dan Tentera Pembebasan Nasional Ta’ang (TNLA), pada mulanya bersetuju dengan gencatan senjata selama empat hari dari 14-18 Julai.

    Anggota ketiga perikatan itu, Tentera Arakan, tidak bersetuju dengan gencatan senjata itu.

    “China memberi banyak tekanan kepada kami untuk mengadakan gencatan senjata dengan segera,” beritahu pemimpin TNLA, yang enggan namanya disiarkan, kepada AFP.

    “Oleh itu, kami perlu melakukannya kerana kami tidak dapat mengelaknya.”

    Namun pemimpin itu memberi amaran jika tentera junta menyerang tentera pakatan atau sekiranya mereka terus mengebom orang awam semasa gencatan senjata, mereka akan ‘menyerang balas’. – AFP

    Anggota TNLA, salah satu angkatan bersenjata etnik dalam Pakatan Tiga Bersaudara, dan Angkatan Pertahanan Rakyat Mandalay bergambar di hadapan bangunan Pertubuhan Veteran Perang Myanmar di bandar Nawnghkio di negeri Shan, Myanmar pada 26 Jun 2024. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda