Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kumpulan bersenjata Myanmar tolak rundingan damai

    BANGKOK, 29 SEPT – Kumpulan utama yang menyelaraskan tentangan terhadap pemerintahan tentera di Myanmar pada Jumaat menolak tawaran mengejut daripada jeneral yang memerintah untuk mengadakan rundingan mengenai penyelesaian politik terhadap konflik bersenjata di seluruh negara.

    Nay Phone Latt, jurucakap bagi Kerajaan Perpaduan Nasional pihak pembangkang, memberitahu The Associated Press (AP) bahawa kenyataan bersama yang dikeluarkan awal tahun ini oleh kumpulan pembangkang telah membuka jalan untuk penyelesaian politik yang dirundingkan jika tentera bersetuju dengan syarat-syaratnya.

    Padoh Saw Kalae Say, jurucakap Kesatuan Nasional Karen (KNU), yang mewakili etnik minoriti Karen, berkata ia juga tidak akan menerima tawaran tentera itu. KNU telah berjuang secara berterusan untuk mendapatkan lebih banyak autonomi sejak Myanmar, yang dahulunya dikenali sebagai Burma, mencapai kemerdekaan daripada Britain pada tahun 1948.

    “Apa yang kami lihat ialah tawaran mereka merupakan idea sejak lebih 70 tahun lalu. Kami tidak akan menerima dan membincangkannya, dan melihat kembali kepada kenyataan yang telah berulang kali kami nyatakan, saya ingin mengatakan bahawa tidak perlu memikirkan perkara ini,” kata Padoh Saw Kalae Say kepada AP.

    Tawaran ringkas tentera ‘untuk menyelesaikan isu politik melalui cara politik’, pada Khamis lalu dan diterbitkan keesokan harinya dalam Global New Light of Myanmar dan akhbar-akhbar kerajaan yang lain, adalah tawaran paling langsung mengenai rundingan damai sejak mereka merampas kuasa daripada kerajaan yang dipilih Aung San Suu Kyi pada Februari 2021. – AP

    Komander unit tentera di bawah KNU, Saw Win Myint, memeriksa gudang senjata yang musnah di pangkalan tentera Batalion Infantri 275 yang ditawan di perbandaran Myawaddy di negeri Kayin, Myanmar pada 12 April lalu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda