Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi
TEMBURONG, 11 Feb – Kumpulan Koir Citra Alunan dari Mukim Bangar dengan lagu ‘Sumpah dan Janji’ berjaya membawa pulang hadiah wang tunai $1,500 dan sijil penyertaan setelah menjuarai Pertandingan Koir Lagu-lagu Patriotik Antara Mukim sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-34, baru-baru ini.
Naib juara pertandingan yang diadakan di Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar, pula ialah Kumpulan Koir Nur Hidayah dari Mukim Amo dengan lagu ‘Tanah Airku’, sekali gus membawa wang tunai $1,300 dan sijil penyertaan.
Sementara itu, tempat ketiga pula disandang oleh Kumpulan Koir Seri Labu Mukim Labu dengan lagu ‘Tekad Kemerdekaan’. Mereka berjaya membawa pulang wang tunai $1,000 dan sijil penyertaan.
Manakala tiga buah kumpulan koir yang lain masing-masing membawa pulang hadiah sagu hati bernilai $500 dan sijil penyertaan.
Hadir selaku tetamu kehormat pertandingan anjuran Jabatan Penerangan itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yarg Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad.
Ah Chua Bangau, selaku pengerusi majlis dalam ucapannya menyatakan pertandingan ini bermula sejak tahun 2016 dan ini merupakan kali ketiga ia diadakan.
Menurut beliau lagi, pertandingan tersebut dibukakan kepada penduduk mukim seluruh negara sebagai platform untuk menanam semangat patriotik, cintakan raja dan negara, mencungkil bakat seni selain mengeratkan lagi silaturahim.
Sehubungan dengan itu, Pertandingan itu juga diharap dapat melahirkan anak muda yang lebih yakin, dinamik, proaktif dalam menyumbang tenaga dalam pembangunan dan kemajuan negara.