Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kumpulan dari Temburong ungguli Pertandingan Tausyeh

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Kumpulan Masjid Utama Mohd Salleh, Pekan Bangar, Daerah Temburong dan Masjid Kampung Batu Apoi, Daerah Temburong masing-masing muncul juara Kategori Pasukan Dewasa Lelaki dan Kategori Pasukan Dewasa Perempuan dalam Pertandingan Tausyeh yang berlangsung di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

    Pertandingan dua hari hingga kelmarin itu juga menyaksikan Kategori Belia Masjid dimenangi oleh Kumpulan Masjid Kampung Salambigar dan Kategori Beliawanis Masjid dijuarai oleh Kumpulan Masjid Kampung Batu Apoi, Daerah Temburong.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Setiausaha Tetap (Kebeliaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Haji Zakaria bin Haji Serudin.

    Pertandingan berkenaan diungkayahkan bersama oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Imarah dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.
    Sebanyak 28 buah kumpulan telah berentap dalam pertandingan akhir terdiri daripada ahli jawatankuasa takmir masjid bagi Kategori Dewasa Lelaki, Muslimah masjid bagi Dewasa Perempuan, Kumpulan Belia Masjid dan Beliawanis Masjid.

    Tujuan utama pertandingan adalah sebagai wadah menghidupkan syiar Islam melalui zikir tausyeh dan menjadikan masjid sebagai tempat perkumpulan masyarakat Islam tanpa mengira perbezaan usia.

    Di samping itu, ia juga diadakan bagi mencungkil bakat terpendam dalam kalangan ahli jawatankuasa takmir, Muslimah masjid dan kumpulan belia serta beliawanis masjid.

    Pertandingan diharap untuk menyahut dan merealisasikan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke arah menjadikan Brunei sebagai sebuah Negara Zikir.

    Seterusnya, ia diharap dapat melahirkan semangat suka mengikuti pelbagai pertandingan yang berbentuk keislaman dan juga mengekalkan serta menghidupkan lagu-lagu tausyeh dalam kalangan masyarakat Islam agar tidak hilang ditelan zaman.

    Haji Zakaria semasa menyampaikan hadiah. – GAMBAR Proses pengiraan undian dijalankan di Dewan Bandaran Kuala Belait, kelmarin. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Haji Zakaria bersama salah satu kumpulan. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda