BUENOS AIRES, 9 OKT – Kerajaan Colombia dan kumpulan bekas pertubuhan gerila, FARC, memulakan rundingan damai, kelmarin lapor agensi berita Jerman.
Perunding daripada kerajaan dan Estado Mayor Central (EMC) bertemu di perbandaran Tibú berhampiran sempadan Venezuela untuk memulakan rundingan, kelmarin menurut Suruhanjaya Tinggi Colombia untuk Keamanan.
Rundingan itu dipantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Negara-negara Amerika, Gereja Katolik, Kesatuan Eropah, Norway, Switzerland, Ireland dan Venezuela.
Kenyataan bersama menyatakan bahawa serangan akan dihentikan mulai Isnin, tetapi dekri gencatan senjata tidak akan berkuat kuasa sehingga 16 Oktober.
Tiada butiran diberikan mengenai tempoh gencatan senjata itu.
Colombia dilanda perang saudara selama 52 tahun yang dilancarkan pemberontak sayap kiri, kumpulan separa tentera sayap kanan dan tentera negara itu yang menyebabkan 220,000 orang terkorban manakala berjuta-juta lagi hilang tempat tinggal.
Pertubuhan pemberontak terbesar, FARC telah menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan pada 2016 dan meletakkan senjatanya.
EMC menolak perjanjian itu dan berpisah daripada FARC. – Bernama


