Kumpulan kedua vaksin Pfizer selamat tiba

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Sebanyak 242,190 dos vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech selamat tiba di Negara Brunei Darussalam dari Belgium di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini.

Hadir menyaksikan ketibaan vaksin di Brunei International Air Cargo Centre (BIACC) ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar, Setiausaha Tetap, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Charge d’Affaires Kedutaan Amerika Syarikat, Emily Flecker; wakil-wakil Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd, Country Manager Malaysia-Brunei, Luksanawan Thangpaibool dan Emerging Markets Policy and Public Affairs (Malaysia/Brunei/Pakistan), Zuriayah Sham binti Zainal Abidin serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Kesihatan.

Penghantaran vaksin berkenaan merupakan yang kedua daripada sebanyak 300,690 vaksin COVID-19 Pfizer BioNTech yang telah diperoleh Kementerian Kesihatan dengan penghantaran pertama iaitu sebanyak 58,500 dos tiba pada 5 November lalu.

Sepertimana yang telah dimaklumkan sebelum ini, di samping penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech ini untuk semua peringkat umur, ia juga akan digunakan di dalam Program Vaksinasi Kebangsaan COVID-19 bagi remaja berumur di antara 12 hingga 17 tahun yang mana seramai 38,201 orang pelajar di bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama akan menerima vaksin tersebut.

Dengan adanya vaksin itu, Program Vaksinasi Kebangsaan COVID-19 akan dapat dilaratkan kepada remaja berumur 12 hingga 17 tahun bermula esok (8 November) dan negara dijangka akan mencapai vaksinasi penduduk mendapat dua dos vaksin COVID-19 lebih daripada 85 peratus.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini, mereka boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn atau Kementerian Pendidikan, www.moe.gov.bn, mengenai perlaksanaan Program Vaksinasi Kebangsaan COVID-19 bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika menerima kumpulan kedua vaksin Pfizer.