Tuesday, April 29, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kumpulan keempat mangsa penipuan pekerjaan di Myanmar dihantar pulang

    BANGKOK, 28 APRIL – Seramai 15 lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar akan dibawa pulang pada Selasa, menjadikan mereka kumpulan keempat yang dihantar pulang menerusi usaha berterusan pihak berkuasa Malaysia dan Thailand.

    Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia ke Thailand, Bong Yik Jui berkata semua identiti mangsa telah disahkan dengan kerjasama pihak berkuasa Thailand.

    “Ini adalah kumpulan keempat mangsa penipuan pekerjaan warga Malaysia yang berjaya diselamatkan.

    “Pihak berkuasa Myanmar dijangka menghantar mangsa ke Thailand melalui Jambatan Persahabatan Kedua Thailand-Myanmar di Mae Sot pagi esok.

    “Kumpulan ini terdiri daripada mangsa berumur antara 19 hingga 43 tahun, termasuk dua wanita.

    Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia ke Thailand, Bong Yik Jui, mengadakan sidang media sempena lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Thailand pada 16 April lalu. – Bernama

    “Mereka akan dihantar pulang melalui jalan darat dari Mae Sot ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam menggunakan bas,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Proses penghantaran pulang mangsa dilakukan dengan kerjasama rapat Kedutaan Malaysia di Yangon, Kedutaan Malaysia di Bangkok serta Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

    Beliau juga berkata pegawai kedutaan di Bangkok membantu mangsa menghubungi ahli keluarga masing-masing di Malaysia serta menyediakan dokumen perjalanan sementara.

    Bas yang membawa mangsa dijangka tiba di Bukit Kayu Hitam pada petang Rabu, katanya.

    Sejak Februari, seramai 40 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian di Myawaddy, Myanmar berjaya diselamatkan dan dihantar pulang dalam dua kumpulan berasingan pada 24 Februari dan 12 Mac lalu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda