Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 DIS – Kumpulan Pangkalan Batang telah menjuarai Kejohanan Gabungan Sepak Takraw Kampung Putat, diikuti dengan kumpulan Baong dan kumpulan Paluk masing-masing diumumkan sebagai naib juara dan tempat ketiga di kejohanan berkenaan, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang kejohanan yang berlangsung di gelanggang sepak takraw kampung berkenaan ialah Ketua Kampung Putat, Awang Zainol bin Haji Mohamed.
Anugerah pemain muda terbaik disandang oleh Awang Abdul Qayyum bin Zainol seterusnya pemain muda berbakat milik Awang Muhammad Hafiq bin Haji Alihan manakala Awang Amin bin Jumat, diumumkan pemain baharu terbaik kejohanan.
Kejohanan berkenaan merupakan aktiviti tahunan kumpulan tersebut dengan kerjasama majlis perundingan kampung (MPK) yang diketuai oleh Mentor Belia, Sufri bin Haji Bahar bersama beberapa jawatankuasa yang lain.
Dengan adanya kejohanan ini, ia dihasrat dapat memberi pendedahan kepada pihak pengurusan perlawanan dan pasukan di samping menarik minat pemain-pemain muda dan belia kampung untuk melibatkan diri dalam sukan sepak takraw sekali gus mempelajari teknik daripada mentor belia.


