Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kumpulan pendidikan gesa pendidikan agama Islam ditawarkan di Jerman

    BERLIN, 29 JULAI – Sebuah kumpulan pendidikan terkemuka di Jerman menggesa agar pendidikan agama Islam ditawarkan secara menyeluruh di sekolah-sekolah di seluruh negara, lapor agensi akhbar Jerman (dpa).
     
    “Kami komited memastikan semua penganut dapat berbicara tentang kepercayaan mereka di sekolah serta memperoleh maklumat berkaitan agama sendiri dan juga agama lain,” kata Pengerusi Persekutuan Persatuan Pendidikan dan Latihan (VBE) Jerman, Gerhard Brand kepada kumpulan media RND seperti dipetik dalam laporan yang disiarkan hari ini.
     
    Brand menggesa ahli politik untuk melaksanakan serta memperluas pendidikan agama Islam secara menyeluruh di peringkat kebangsaan dengan menyediakan tenaga pengajar dan pembiayaan yang mencukupi, serta melaksanakannya segera bagi memastikan liputan menyeluruh dalam jangka masa sederhana.
     
    Pada masa ini, pelaksanaan pendidikan agama Islam berbeza-beza mengikut negeri di Jerman. Beberapa negeri seperti North Rhine-Westphalia dan Bavaria telah menawarkan kelas terbabit.
     
    Menurut Brand, inisiatif sedia ada perlu dinilai semula, ditambah baik jika perlu dan diperluaskan.
     
    Presiden Persatuan Guru Jerman, Stefan Dull pula menyifatkan pendidikan agama sebagai benteng terhadap pemikiran fundamentalisme. 
     
    “Pendidikan agama di sekolah awam, yang diajar oleh guru terlatih dalam negara dan diperakui oleh kerajaan boleh mengimbangi pandangan radikal, sama ada yang disampaikan melalui keluarga mahupun pendakwah ekstremis dalam talian,” katanya kepada RND. – Bernama
     
    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda