Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kumpulan perubatan saman setiausaha kesihatan AS berhubung perubahan vaksin COVID-19

    WASHINGTON, 8 JULAI – Beberapa kumpulan perubatan terkemuka kelmarin memfailkan saman terhadap Setiausaha Kesihatan Amerika Syarikat (AS), Robert F. Kennedy Jr., dengan menuduh pemimpin itu membahayakan kesihatan awam susulan perubahan cadangan vaksin COVID-19.

    Pada akhir Mei lalu, Kennedy mengumumkan melalui media sosial bahawa pihak berkuasa persekutuan tidak lagi mengesyorkan vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak dan wanita hamil, sekali gus langkah itu mendapat kecaman daripada pakar kesihatan.

    Dalam saman itu, American Academy of Pediatrics (AAP), American College of Physicians (ACP) dan beberapa kumpulan perubatan terkemuka lain meminta mahkamah menghentikan arahan Kennedy yang dianggap mereka ‘sewenang-wenang dan tidak berasaskan sains’ serta memulihkan semula vaksin COVID-19 ke dalam jadual imunisasi rasmi.

    “Ia sangat tidak beretika untuk mengambil hak dan pilihan ibu bapa untuk melindungi anak-anak mereka melalui vaksinasi,” kata Tina Tan, seorang pakar pediatrik dan Presiden Infectious Diseases Society of America, salah satu pihak yang memfailkan saman.

    Sejak dilantik ke jawatan terbabit, Kennedy, yang sejak berdekad menyebarkan maklumat salah mengenai vaksin sebelum menjadi pegawai tertinggi kesihatan di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump, dilihat berusaha merombak dasar vaksinasi negara itu.

    Pada bulan Jun, beliau sudah memecat kesemua 17 ahli Advisory Committee on Immunization Practices (ACIP) dan melantik panelnya sendiri di bawah slogan ‘Make America Healthy Again’.

    Saman yang difailkan kelmarin itu turut menyoroti pelantikan baru dalam ACIP yang kontroversial.

    “Kita sedang berada di jalan yang berbahaya,” kata Susan Kressly daripada AAP, yang turut mengecam alangkah itu sebagai penyebaran maklumat palsu oleh Kennedy dan menyuarakan rakan-rakan dan ibu bapa pesakit.

    “Pakar pediatrik tidak boleh berdiam diri apabila sistem untuk menyokong vaksin yang menyelamatkan nyawa sedang dihakis sedikit demi sedikit, dengan Setiausaha Kennedy menerajui usaha untuk menanam keraguan dan ketidakpercayaan terhadap kejayaan vaksinasi di AS,” katanya.

    “Kini semakin ramai profesional kesihatan mendapati pesakit dewasa ragu-ragu untuk menerima vaksin mereka. Mereka tidak lagi mempercayai sistem ini,” kata Jason Goldman, Presiden ACP.

    Saman bersama itu difailkan di negeri Massachusetts, yang terletak di timur laut AS. – AFP

    Robert F. Kennedy Jr. semasa di Capitol Hill di Washington, DC pada 20 Mei lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda