MADRID, 7 JULAI – Edisi baharu larian lembu yang terkenal namun kontroversi di Bandar Pamplona, utara Sepanyol, bermula pada Ahad dengan sentimen politik yang luar biasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Aktivis pro-Palestin dipilih untuk merasmikan perayaan sembilan hari Saint Fermin atau San Fermin, dengan upacara tradisional ‘Chupinazo’ tepat 12 tengah hari.
Dalam acara itu, sebuah roket kecil dilancarkan dari balkoni dewan bandar sebagai simbol permulaan festival.
Platform ‘Yala Nafarroa con Palestina’ yang bermaksud Ayuh Navarra bersama Palestin telah memenangi undian awam untuk merasmikan festival tahun ini.
Tiga wakil platform itu, yang mendakwa Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza dan menuntut semua hubungan dengan negara Yahudi diputuskan, diberi tanggungjawab untuk melancarkan majlis perasmian.

Festival itu turut dikenali sebagai Sanfermines dalam kalangan penduduk tempatan, didedikasikan kepada santo penaung bandar itu, Fermín dan disambut di bandar yang berpenduduk sekitar 200,000 orang di wilayah Navarra sejak akhir abad ke-16, setiap awal Julai.
Larian lembu adalah acara kemuncak festival itu diadakan setiap pagi dari 7 hingga 14 Julai, enam ekor lembu jantan, sebahagiannya seberat lebih 600 kilogram, bersama beberapa ekor lembu pengiring, akan dikejar oleh ratusan peserta melalui lorong sempit ke dalam arena untuk pertarungan lembu pada waktu malam.
Kecederaan berlaku setiap tahun dalam cabaran keberanian itu yang biasanya disertai oleh golongan muda sepanjang laluan sejauh 875 meter.
Aktivis hak haiwan sekali lagi membantah acara ini, yang mereka sifatkan sebagai kekejaman terhadap haiwan. Mereka telah lama menentang larian lembu liar ini, namun tidak pernah berjaya.
Namun begitu, festival ini yang turut menampilkan konsert, perarakan dan pelbagai acara lain, terus menarik ribuan pelawat dari seluruh dunia. – Bernama