Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77 dan Ilal Hijrah 1445, Persatuan Belia Kampung Lambak (PERBEKAL) telah menganjurkan pertandingan tausyeh dan nasyid, kelmarin.
Pertandingan yang diadakan di Dewan Silaturahim, Pusat Belia Bandar Seri Begawan itu disertai empat kumpulan dengan setiap kumpulan mempunyai enam peserta. Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Di-Pertua PERBEKAL, Pengiran Haji Nordin bin Pengiran Haji Mahmud yang turut menyempurnakan penyampaian hadiah.
Muncul juara ialah Kumpulan Puteh Humairah, diikuti oleh Kumpulan Soleha selaku naib juara. Manakala, Kumpulan Asy Syuhada dan Kumpulan Al Qayyum masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Kampung Lambak B, Pengiran Jofri bin Pengiran Haji Zaidi selaku pengerusi berterusan PERBEKAL; Timbalan Yang Di-Pertua, Pengiran Mahari bin Pengiran Haji Mohd Tahir; Naib Yang Di-Pertua 1 selaku Pengerusi Biro Wanita, Dayang Siti Seriana binti Haji Mohd Yusof; dan Pemangku Ketua Kampung Perpindahan Mentiri, Haji Abu Bakar bin Haji Pungut selaku pengerusi tetap.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P6-4A_08082023.jpg)