Kumpulan SoftBank jual Arm AS$40 bilion

TOKYO, 14 SEPT – Kumpulan SoftBank di Jepun berkata hari ini ia akan menjual pereka cip British Arm kepada firma Amerika Syarikat (AS) NVIDIA dengan harga AS$40 bilion, berpotensi mewujudkan sebuah syarikat gergasi baharu dalam industri.

Jika diluluskan, perjanjian itu akan menjadi salah satu pemerolehan terbesar di dunia pada tahun ini, dan akan mendorong NVIDIA menjadi pelopor dalam sektor semikonduktor.

Pengumuman itu juga memperbaharui spekulasi mengenai masa depan Kumpulan SoftBank, dengan Bloomberg News melaporkan ia dijangka memulihkan rundingan untuk penswastaan menerusi satu pelan pembelian pengurusan.

Penjualan Arm dinilai sehingga AS$40 bilion dan tertakluk kepada kelulusan oleh pihak berkuasa dalam beberapa bidang kuasa, termasuk Britain, China, AS dan Kesatuan Eropah, kata Kumpulan SoftBank dalam satu kenyataan. Ia berharap perjanjian itu akan selesai pada Mac 2022, tambahnya.

Saham Kumpulan SoftBank meningkat dalam perniagaan pagi di Tokyo, meningkat hampir 10 peratus pada satu tahap. Mereka berakhir pada 8.95 peratus kepada 6,385 yen.

Amir Anvarzadeh, ahli strategi pasaran di Asymmetric Advisors di Singapura, berkata Arm tidak ‘mencatat prestasi baik’, menjadikan jualan lebih menarik untuk SoftBank.

Namun beliau berkata pemerolehan akan ‘menimbulkan beberapa spekulasi’ dalam industri semikonduktor, disebabkan ramai pesaing NVIDIA bekerja dengan reka cipta Arm.

“Mereka memerlukan jaminan, jika tidak Arm mungkin kehilangan perniagaan atau berdepan tindakan undang-undang,” katanya. – AFP