Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 6 OGOS – Kumpulan Syarikat SC telah menganjurkan kempen kebersihan pantai pada 2 Ogos lalu di Taman Rekreasi Jubli Perak, sebagai sebahagian daripada usaha proaktif syarikat dalam melindungi dan memelihara alam sekitar.
Kempen tersebut telah diketuai oleh Pengarah Urusan, Awang Mohd Rashidi Tarmidi, bersama dua lagi ahli lembaga pengarah serta 28 orang peserta daripada kumpulan syarikat berkenaan.
Sepanjang kempen berlangsung, para peserta dibahagikan kepada dua kumpulan untuk menyusuri kawasan pantai sepanjang kira-kira tiga kilometer bagi mengutip sampah sarap yang terdampar di sepanjang pesisir.
Hasil daripada inisiatif itu, sebanyak 40 beg sampah bersaiz sangat besar telah berjaya dikumpul, di mana sekitar 80 peratus daripada sisa yang dikutip terdiri daripada bahan plastik seperti botol air, pembungkus makanan, peralatan makan plastik dan barangan sekali guna, di mana secara tidak langsung mencerminkan isu pencemaran plastik yang berterusan di kawasan pesisir dan lautan.
Inisiatif tersebut dipimpin oleh pihak pengurusan tertinggi syarikat, sekali gus mencerminkan kepimpinan dan komitmen mereka terhadap pemeliharaan alam sekitar.
Sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kumpulan SC yang berterusan, kempen itu turut mencerminkan dedikasi syarikat terhadap kelestarian serta kepercayaan mereka dalam mengambil tindakan nyata demi melindungi alam sekitar untuk generasi akan datang.
Kumpulan Syarikat SC yang merangkumi SC Offshore & Engineering Sdn Bhd, SC Oilfields and Logistics Sdn Bhd dan SC Company, terus komited untuk mengintegrasikan kelestarian dalam operasi teras perniagaan sambil aktif melibatkan diri dalam inisiatif alam sekitar yang berpaksikan komuniti dengan kempen ini menjadi salah satu daripada pelbagai langkah ke arah peningkatan kesedaran dan tindakan ke arah persekitaran yang lebih bersih dan sihat.




