Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Kumpulan Water Wizards dari Sekolah Rendah Mentiri; Kumpulan BIJAQ dari Sekolah Menengah Sayyidina Hasan; dan Kumpulan CERADIK dari Sekolah Rendah Pengiran Kesuma Negara, Bukit Beruang, telah memenangi kategori masing-masing dalam pertandingan berasingan.
Sebanyak 25 kumpulan telah mendaftar untuk menyertai Pameran Pusat Keusahawanan Inovasi (EIC) bagi Pertandingan Celik Biz ke-6 dan Pertandingan BigStart ke-11 yang berlangsung di Dewan Ruang, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Chong Chin Yee.
Pada acara berkenaan, Kumpulan Water Wizards dengan nama produk WATER Cycle telah memenangi Petak Terbaik bagi Celik-Biz.
Sementara itu, Petak Terbaik bagi BigStart telah dimenangi oleh Kumpulan BIJAQ dengan nama produk TechnoBin.
Manakala Pasukan Terbaik yang memperoleh undian tertinggi pula dimenangi oleh Kumpulan CERADIK dengan nama produk Aplikasi Lakastah Membaca.
Acara diteruskan lagi dengan perasmian Junior Innovator Catalogue iaitu katalog koleksi prototaip hasil ciptaan para pelajar dari Pertandingan Celik-Biz, Pertandingan BigStart dan Jabatan Pendidikan Khas (JPKhas) Bootcamp sejak 2021.
Pertandingan bertemakan Inovasi dalam Keusahawanan, dengan empat sub-tema iaitu Inovasi, Pendidikan dan Hiburan, Pendigitalan serta Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) itu berperanan sebagai platform bagi para pelajar mempamerkan produk dan perkhidmatan inovatif yang telah mereka cipta dan reka melalui pertandingan berkenaan.
Penyertaan bagi Pameran EIC itu telah dibukakan kepada pelajar Tahun 4 dan Tahun 5 dari sekolah-sekolah rendah serta pelajar Tahun 9 dan Tahun 10 dari sekolah-sekolah menengah serta maktab-maktab kerajaan dan swasta di bawah Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.