LONDON – Salwa Gaspard menatap dengan penuh rasa sayang pada ratusan buku Bahasa Arab yang dipamerkan di rak kayu, meletakkan kembali beberapa buah buku di tempat asal sementara berbual-bual dengan pelanggan.
Dalam masa beberapa hari lagi, kedai bukunya di London, popular dalam kalangan peminat kesusasteraan di seluruh Timur Tengah, akan ditutup buat selama-lamanya.
Kedai buku Al Saqi merupakan salah satu mangsa pandemik, dan krisis ekonomi di United Kingdom (UK) dan Lubnan, di mana syarikat penerbitan milik Gaspard dan suaminya Andre mencetak dan menghantar kebanyakan bukunya.
Sejak mereka membuka kedai buku itu di bangunan yang mempunyai deretan tiang putih tidak jauh dari stesen kereta api Paddington di barat London pada 1978, ia telah menjadi tempat yang mesti dikunjungi pelawat dari Timur Tengah.
“Mereka akan pergi ke Jalan Oxford (jalan membeli-belah utama), ke Knightsbridge (kawasan di sekitar kedai terkenal Harrods) dan ke Al Saqi,” beritahunya kepada AFP.





Dalam bahasa Arab, Al Saqi bermakna pembawa air di padang pasir, beritahu penjual buku berusia 74 tahun itu, menyifatkannya sebagai ‘nama yang sempurna.’
“Kami fikir ia adalah nama yang amat baik untuk kedai buku, disebabkan kami membawa budaya Arab,” tambahnya.
Kedai buku itu juga menjual penerbitan bahasa Inggeris di dunia Arab ‘untuk memberikan pembaca idea berlainan mengenai Timur Tengah, yang bukan mengenai imej ganas yang dilihat oleh mereka di televisyen, atau diceritakan dalam akhbar,” ujarnya.
Kejayaan kedai buku itu membantu pasangan suami isteri itu menubuhkan sebuah syarikat penerbitan, pada mulanya menterjemah karya Arab kepada bahasa Inggeris, misalnya The Crusaders Through Arab Eyes oleh penulis Perancis-Lubnan, Amin Maalouf.
Selama lebih 40 tahun, ramai penulis telah mengunjungi kedai buku London untuk memperkenalkan karya mereka, termasuk penyair Syria, Adonis.
Ia juga menjadi tempat pertemuan malah ‘tempat perlindungan’ bagi mereka yang tersingkir dari kediaman mereka serta huru-hara di Timur Tengah.
Namun kedai buku Al Saqi sentiasa mempertahankan kebebasan dan sikap mereka yang terbuka.
“Ia bagaikan tempat yang selamat. Namun ia juga terasa seolah-olah mereka bersama kawan-kawan yang boleh memahami diri dan keadaan yang dihadapi mereka kerana kami semua tahu apa yang sedang berlaku,” kata Gaspard.
Walaupun pemilik kedai sentiasa hati-hati tidak terbabit dalam politik, kedai buku itu tidak juga terlepas daripada kesan geopolitik.
Pada 1988, sebuah buku kontroversi hasil penulisan pengarang India kelahiran British-Amerika diterbitkan, tingkap kedai buku mereka pecah berkecai.
Namun Gaspard berkata, “Kami tidak pernah mempercayai penapisan…kami tidak mahu mengharamkan apa-apa.”
Pasangan itu juga diserang apabila mereka menerbitkan terjemahan hasil karya penulis Mesir, Tawfiq al-Hakim oleh Abba Eban dari Israel.
Dia menceritakan perasaan marah kebanyakan orang, ketika buku itu diterbitkan sebelum proses perdamaian tetapi berkata ia adalah ‘perpaduan intelektual’ di antara penulis Mesir dan Israel.
Pengumuman pada 5 Disember bahawa kedai buku itu akan ditutup pada akhir bulan ini melihat kedai itu dibanjiri teks dan mesej yang datang mencurah-curah.
Wartawan dan akademik Algeria yang berpangkalan di UK, Quissal Harize menulis di Twitter, “Kamu pastinya akan dirindui. Terima kasih kerana memberikan kami rumah yang jauh dari kampung halaman.’
Ketua Editor Esquire Middle East, Nasri Atallah, menggelar penutupan ‘sesuatu yang amat menyedihkan.’
“Al Saqi ‘merupakan tonggak sepanjang penginapan saya di London – dan juga bapa saya,” tulisnya.
Di kedai buku, Farah Otozbeer, pelajar Mesir berusia 24 tahun yang berada di London untuk menerima ijazahnya dari Sekolah Ekonomi London berhasrat mengunjunginya buat kali terakhir.
“Saya selalu terasa seolah-olah ia memberikan tempat perlindungan kepada saya di London. Ia adalah berita yang amat menyedihkan,” tambahnya.
Joseph Devine, salah seorang pekerja di kedai buku itu dan bekas pelajar Arab, menyamakan kedai buku itu dengan ‘pusat kebudayaan’, menerbitkan buku-buku yang sering ditapis di negara asal.
“Ia sentiasa menjadi satu tempat yang sering dikunjungi warga Arab dari seluruh Timur Tengah hanya untuk membeli buku yang tidak terdapat di negara mereka sendiri,” ujarnya.
“Adalah juga penting untuk menterjemah kesusasteraan dan kisah bukan fiksyen kami kepada bahasa Inggeris dan menyebarkannya kepada penutur bahasa Inggeris.”
Selepas ditutup semasa COVID, harapan Gaspard untuk kembali pulih hancur disebabkan krisis taraf hidup di UK yang menyaksikan inflasi mencecah angka dua digit dan harga tenaga melambung baik, serta kemelesetan ekonomi di Lubnan, menambah lagi kos import ke UK.
“Adalah amat sukar untuk pulang modal,” tambahnya.
“Melarikan diri dari Lubnan, kami tidak mempunyai keluarga di London dan ini adalah keluarga kami. Semua pekerja kami layan seperti keluarga, beberapa pelanggan dianggap sebagai keluarga. Ia merupakan rumah yang jauh dari kampung halaman. Maka kami akan kehilangan kesemua ini sekarang.” – AFP

