Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Kementerian Pertahanan
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mac – Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit telah menerima kunjungan hormat daripada Kepala Staf Angkatan Udara, Tentara Nasional Indonesia (KASAU TNI-AU) Marsekal TNI Hadi Tjahjanto, dalam majlis yang berlangsung di Kementerian Pertahanan, hari ini.
Marsekal TNI Hadi Tjahjanto berada di Negara Brunei Darussalam bagi lawatan pengenalannya, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan.
Semasa kunjungan itu, Timbalan Menteri Pertahanan telah melahirkan rasa gembira mengenai hubungan ketenteraan yang rapat dan mesra di antara Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) dan TNI-AU, yang seterusnya juga memberikan impak positif kepada hubungan pertahanan dua hala secara keseluruhannya.
Timbalan Menteri Pertahanan kemudiannya menggalakkan kedua-dua tentera udara untuk meneruskan usaha dalam membina hubungan baik yang sedia ada terutamanya dalam bidang latihan, pertukaran lawatan, pertukaran profesional serta kursus ke arah mempertingkatkan tahap kesefahaman bersama dan mengeratkan talian profesionalisme di antara anggota kedua-dua belah pihak.
Sebelum lawatan ini, interaksi terkini di antara TUDB dan TNI-AU adalah pengendalian ‘Latihan Bersama (Latma) Brunesia’ yang telah diadakan di Negara Brunei Darussalam pada 25 hingga 28 Oktober 2016.

Marsekal TNI Hadi Tjahjanto telah mengambil alih tugas sebagai KASAU TNI-AU bermula 18 Januari 2017.
Sementara itu, dalam majlis yang berasingan, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah turut menerima kunjungan hormat daripada Marsekal TNI ,Hadi Tjahjanto, hari ini.
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan lagi, semasa kunjungan itu, Pemerintah ABDB mengalu-alukan kedatangan Marsekal TNI Hadi Tjahjanto dan delegasi ke Negara Brunei Darussalam serta mengucapkan tahniah kepada beliau atas pelantikannya sebagai Kasau-TNI-AU.
Pemerintah ABDB berpuas hati dengan jalinan rapat antara ABDB dan TNI yang sudah lama terjalin melalui kursus, latihan, mesyuarat serta interaksi dan lawatan rasmi.
Kedua-dua belah pihak juga membincangkan mengenai peluang-peluang yang dapat meningkatkan lagi hubungan pertahanan dua hala di antara kedua angkatan tentera, terutamanya di antara TUDB dan TNI-AU.