Kunjungan hormat Panglima Besar RTA

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JAN – Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, hari ini, telah menerima kunjungan hormat daripada Panglima Besar Tentera Darat Diraja Thailand (RTA), Jeneral Apirat Kongsompong yang mengadakan kunjungan pengenalan ke Negara Brunei Darussalam selama dua hari hingga esok.

Panglima Besar RTA juga mengadakan kunjungan hormat kepada Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud di Kementerian Pertahanan.

Terdahulu itu, Panglima Besar RTA telah mengadakan kunjungan kepada Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB).

Sejurus tiba di Markas TDDB, beliau menerima tabik hormat dan seterusnya memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota Batalion Pertama TDDB.

Selepas memeriksa perbarisan, Jeneral Apirat Kongsompong membuat kunjungan muhibah kepada Pemerintah TDDB, Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Khairul Hamed bin Haji Lampoh.

Semasa kunjungan muhibah tersebut, kedua-dua belah pihak mengesahkan kerjasama erat antara kedua-dua tentera darat dan membincangkan beberapa landasan untuk bekerjasama.

Kedua-dua belah pihak seterusnya menyatakan rasa puas hati terhadap hubungan pertahanan mesra yang terjalin, serta menyuarakan rasa gembira terhadap kerjasama ketenteraan dua hala yang sedia ada.

Di samping itu, kedua-dua belah pihak juga berpuas hati atas kerjasama pelbagai hala melalui bidang kerja Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM+.

Bagi mengalu-alukan kedatangan Jeneral Apirat Kongsompong, majlis makan malam juga telah diadakan di Mes Pegawai, Berakas Garison yang dihoskan oleh Pemerintah TDDB. Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan serta pegawai-pegawai TDDB. Jeneral Apirat Kongsompong telah dilantik menjadi Panglima Besar RTA pada 1 Oktober 2018.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua ketika menerima kunjungan hormat daripada Jeneral Apirat Kongsompong. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan