Oleh Salawati Haji Yahya & Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jun – Istana Nurul Iman terus meriah hari ini apabila dibanjiri orang ramai tanpa mengira usia dan bangsa yang tidak ingin melepaskan peluang untuk menjunjung ziarah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta kerabat diraja yang lain.
Hari kedua Majlis Junjung Ziarah di Istana Nurul Iman juga lebih ceria dengan kehadiran kanak-kanak yang kelihatan gembira kerana berpeluang berkunjung ke istana.
Salah seorang kanak-kanak lelaki, Nadilson, 8, berbangsa Iban, berkata, ini merupakan kunjungan pertama beliau ke Majlis Terbuka Istana Nurul Iman bersama keluarganya.
Beliau mengongsikan kegembiraan dan perasaan tidak sabar untuk menatap seterusnya bersalaman dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerabat diraja yang lain.

Dua beradik, Dayang Laila binti Haji Ayub dan Dayang Nurbatrisyia binti Haji Ayub, 6, ketika ditemui juga melahirkan perasaan teruja dan gembira berkunjung ke istana sempena Majlis Terbuka Istana Nurul Iman, kerana ini merupakan pengalaman pertama mereka untuk mengalami suasana Hari Raya Aidilfitri di istana.

Kedua-dua mereka yang ditemani ibu mereka bersama ahli keluarga yang lain menganggap ini merupakan pengalaman berharga untuk bersalaman bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja yang lain.
Peluang berharga untuk menatap wajah pemimpin yang dikasihi rakyat ini juga tidak dilepaskan oleh pelancong luar dan warga asing yang bekerja di negara ini.
Yvonne dari Hong kong berkata, mengunjungi Istana Nurul Iman untuk junjung ziarah sempena Hari Raya Aidilfitri merupakan pengalaman luar biasa dan menyeronokkan.
“Bersyukur kerana buat pertama kali berkesempatan bersama-sama keluarga merayakan Hari Raya Aidilfitri di Negara Brunei Darussalam dan berpeluang mengunjungi Istana Nurul Iman, dan kami juga amat gembira kerana berpeluang dapat sama-sama melihat suasana Hari Raya di Istana Nurul Iman,” katanya sambil berharap akan diberikan kesempatan sekali lagi pada tahun hadapan.
“Saya merasa amat terharu kerana dapat bersalaman dengan seorang raja yang kasihkan rakyat. Suasana Hari Raya di istana amat meriah, berbeza dengan negara kami, di sini kami dapat bertemu dengan berbagai-bagai bangsa dari beberapa negara jiran yang lain,” tambah Yvonne ketika ditemui Media Permata.

Sementara itu, Ibrahim Omari Abdallah Semasaba dari Afrika pula menyatakan rasa syukur kerana dapat bersalaman dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta kerabat diraja yang lain di Hari Raya Aidilfitri.
“Saya merasa terharu kerana dapat bersalaman dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan menyembahkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan dalam masa yang sama saya juga gembira dapat bersua muka dengan raja yang cintakan rakyatnya,” ujar Ibrahim.