Friday, July 5, 2024
23.2 C
Brunei

    -

    Kunjungan muhibah bertukar buah fikiran

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib telah menerima kunjungan muhibah daripada Naib Ketua Badan Kehormatan, Dewan Perwakilan Daerah Republik Indonesia (DPDRI), Drs Made Mangku Pastika, di Bangunan Dewan Majlis, Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat, hari ini.

    Menurut kenyataan Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat, di sini, kunjungan muhibah berkenaan telah disertai oleh rombongan sembilan orang ahli parlimen.

    Turut hadir sama dalam kunjungan berkenaan ialah Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Dr Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Hurairah dan sembilan orang ahli MMN.

    Semasa sesi tersebut, kedua-dua pihak menyentuh mengenai kemajuan dan pembangunan kedua-dua negara serta menghargai hubungan kerjasama dan persahabatan yang telah lama terjalin antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia, selain menyentuh kod etika dan tatakelakuan ahli parlimen.

    Yang Berhormat Pehin mengongsikan bahawa peraturan-peraturan MMN merupakan panduan penting dalam mengendalikan mesyuarat, proses meluluskan undang-undang, pertanyaan dan hak ahli MMN.

    Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman semasa menerima kunjungan muhibah daripada rombongan DPDRI. – GAMBAR SERAHAN JABATAN MAJLIS-MAJLIS MESYUARAT
    GAMBAR SERAHAN JABATAN MAJLIS-MAJLIS MESYUARAT

    Sementara itu, Drs Made Mangku Pastika pula mengongsikan bahawa Badan Kehormatan telah ditubuhkan sejak 2004 khusus bagi memantau tatakelakuan dan etika ahli-ahli parlimen dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.

    Kunjungan berkenaan diteruskan dengan sesi dialog antara rombongan DPDRI dan ahli-ahli MMN yang hadir.

    Perbincangan menumpukan secara terperinci kepada kod etika dan tatakelakuan ahli parlimen serta proses-proses yang berkaitan.

    Di samping itu, kedua-dua pihak juga bertukar-tukar pendapat dan pandangan mengenai kepentingan ahli-ahli parlimen dalam memastikan integriti dengan mengamalkan nilai-nilai kejujuran, keikhlasan dan keluhuran dalam semua urusan.

    Sesi dialog juga membincangkan pelbagai usaha pengukuhan ekonomi melalui perusahan kecil dan sederhana (PKS) dan aspek-aspek kesejahteraan dan kemakmuran negara dan rakyat.

    Sesi berkenaan diakhiri dengan lawatan ke Dewan Persidangan MMN.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Waktu sarapan McDonald’s Australia dipendekkan

    SYDNEY, 4 JULAI – Rangkaian makanan segera McDonald’s di Australia telah memendekkan waktu perkhidmatan sarapan akibat kekurangan bekalan telur berikutan wabak selesema burung yang...