Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kunjungan muhibah kepada dua menteri

    Oleh Syahmi Hassan & Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, baru-baru ini, telah menerima kunjungan muhibah daripada ahli Jawatankuasa Tetap 13th National Committee Of Chinese People’s Political Consultative Conference (CPPCC) dan Naib Presiden Jawatankuasa Hal Ehwal Etnik dan Agama, CPPCC National Committee, Tuan Yang Terutama Quan Zhezhu.

    Majlis berlangsung di Bilik Muhibbah, Tingkat 6, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Jalan James Pearce, di ibu negara.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-Undang) di KHEDN, Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud; Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah) di KHEDN, Awang Salminan bin Haji Burut; Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) di KHEDN, Awang Ajman bin Haji Meludin dan Timbalan Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah) di KHEDN, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan.

    Sementara itu, kelmarin, TYT Quan Zhezhu turut mengadakan kunjungan muhibah kepada Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman di Bilik Dhiyafah, Tingkat 5, Bangunan Tambahan Baru, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Jalan Dewan Majlis.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar dan Pemangku Setiausaha Tetap di KHEDN, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

    Turut menyertai delegasi TYT Quan Zhezhu ialah ahli-ahli CPPCC National Commitee dan Jawatankuasa Hal Ehwal Etnik dan Agama CPPCC National Commitee, Luo Liming dan Hu Xuefeng serta Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, PYT Yu Hong.

    Kunjungan-kunjungan hormat tersebut bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan yang sedia ada antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China, di samping berkongsi pengalaman dalam perkara yang menjadi kepentingan bersama serta meneroka peluang kerjasama antara kedua-dua buah negara.

    TYT Quan Zhezhu dan delegasi berada di negara ini bagi lawatan selama empat hari bermula 14 November lalu hingga hari ini.

    Semasa berada di negara ini, Tuan Yang Terutama dan delegasi juga dibawa melawat ke tempat-tempat menarik termasuk Dewan Majlis Mesyuarat Negara; Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok; Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan; Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong; Pusat Kesenian dan Pertukangan Tangan dan Muzium Alat-Alat Kebesaran Diraja.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menyampaikan cenderahati kenang-kenangan kepada TYT Quan Zhezhu.
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama ketika menerima kunjungan daripada TYT Quan Zhezhu.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda