Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Hubungan persahabatan antara ASEAN dan China terus diperkukuhkan dalam pelbagai bidang di mana kerjasama dua hala serta program-program yang dilaksanakan oleh persatuan persahabatan negara-negara anggota ASEAN dan China telah berjaya untuk meningkatkan semangat perpaduan dan persahabatan di kalangan rakyat serta penduduk ASEAN dan China.
Sehubungan itu, bagi mengeratkan lagi hubungan persahabatan antara China dan ASEAN khususnya Negara Brunei Darussalam, Presiden Persatuan ASEAN-China, Gu Xiulian serta delegasi mengadakan kunjungan muhibah ke Pejabat Persatuan Persahabatan Brunei-China (BCFA), di Pusat Sunway, hari ini.
Hadir untuk mengalu-alukan kehadiran Gu Xiulian serta delegasi ialah Presiden BCFA, Dr Mohammad Firdaus bin Abdul Rahman serta ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif BCFA.
Turut hadir semasa kunjungan berkenaan ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam yang dilantik, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo.
Semasa kunjungan muhibah berkenaan, Gu Xiulian mengongsi bahawa ia merupakan lawatan ketiganya ke Negara Brunei Darussalam dan amat teruja kerana berpeluang untuk kembali menyaksikan serta berjumpa dengan rakan-rakan di Brunei.

Beliau menyatakan penghargaan kepada Presiden BCFA, keluarganya serta TYT Xiao Jianguo yang hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengalu-alukan kehadirannya bersama delegasi di Brunei dengan penuh mesra.
Mengimbas kenangan lawatannya ke Brunei sebelum ini, Gu Xiulian menyatakan bahawa Brunei merupakan sebuah negara hijau yang indah dan hubungan persahabatan antara Brunei dengan China adalah amat erat.
Beliau juga menyatakan kenangan manis ketika menghadiri Persidangan Persahabatan Rakyat ASEAN-China ke-10 yang dihoskan oleh Negara Brunei Darussalam pada 2015 di mana persidangan itu berjaya untuk bukan sahaja mempromosikan kerjasama antara ASEAN dan China tetapi juga membawa kepada pembangunan yang bermanfaat kepada kedua-dua belah pihak.
Gu Xiulian turut menyatakan bahawa China dan Brunei merupakan jiran dan sahabat yang akrab di mana walaupun China merupakan sebuah negara yang besar tetapi ia kekal berusaha ke arah keamanan, kestabilan dan pembangunan bersama negara-negara sahabat.
Manakala itu, Dr Mohammad Firdaus dalam ucapan balas, menyatakan penghargaan atas persahabatan dan kunjungan oleh Gu Xiulian yang merupakan sahabat mesra dan lama kepada persatuan berkenaan.
Beliau turut menyatakan bahawa penubuhan BCFA adalah untuk mengeratkan lagi hubungan persahabatan antara warga kedua-dua buah negara dan berharap menerusi usaha itu, dapat membina kemakmuran ekonomi, keamanan serta masa depan yang lebih cerah untuk kedua-dua buah negara.