Saturday, September 23, 2023
30 C
Brunei

    -

    Kunjungan promosi program akademik UNISSA

    Oleh Syahmi Hassan – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Enam orang tenaga akademik dari Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam (FPPI), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah membuat kunjungan muhibah ke Universitas Mulawarman, Universitas Widya Gama Mahakam Samarinda dan Universitas Islam Negeri Sultan Aji Muhammad Idris, Indonesia, baru-baru ini.

    Delegasi diketuai oleh Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal bersama Dekan FPPI, Profesor Madya Dr Anis Malik Thoha dan Dekan Fakulti Pertanian, Profesor Madya Dr Hajah Rose binti Abdullah.

    Kunjungan itu merupakan salah satu inisiatif UNISSA untuk meluaskan rangkaian kerjasama dengan pakar profesional dari institusi pengajian tinggi di Indonesia, seterusnya mempromosikan program-program akademik yang ditawarkan oleh UNISSA.

    Matlamatnya adalah untuk menimba pengalaman dan bertukar fikiran dengan institusi-institusi pengajian tinggi dalam pelbagai bidang program khususnya bidang pertanian dan tamadun Islam.

    Di samping itu, ia juga bagi mengukuhkan hubungan dua hala antara UNISSA dan institusi-institusi pengajian tinggi di Indonesia khususnya melalui memorandum persefahaman (MoU) atau memorandum perjanjian (MoA).

    Gambar ramai semasa kunjungan ke Universitas Mulawarman. – Gambar serahan UNISSA
    Delegasi UNISSA bergambar semasa kunjungan ke Universitas Widya Gama Mahakam Samarinda, Indonesia, baru-baru ini. – Gambar serahan UNISSA

    Semasa lawatan ke Universitas Mulawarman, delegasi juga didedahkan kepada program-program yang ditawarkan oleh Fakulti Pertanian di universiti berkenaan.

    Menerusi perbincangan yang diadakan, ia memberikan pendedahan untuk merancang dan menyusun strategi lebih baik dalam menyediakan dan mempersiapkan pelajar-pelajar UNISSA dalam bidang pertanian umumnya.

    Delegasi seterusnya mengadakan kunjungan ke Universitas Widya Gama Mahakam Samarinda, yang diteruskan dengan majlis pembaharuan penandatanganan MoU.

    Menandatangani bagi pihak UNISSA ialah Rektor UNISSA yang disaksikan oleh Ketua Pengurus Yayasan Pembina Pendidikan Mahakam Samarinda, Indonesia, Drs H Ismet Barakbah. Manakala mewakili Universitas Widya Gama Mahakam Samarinda, Indonesia ialah Rektornya, Profesor Dr Husaini Usman MPD, MT.

    Semasa mengadakan kunjungan ke Universitas Islam Negeri Sultan Aji Muhammad Idris, Rektornya, Profesor Dr H Mukhamad Ilyasin telah menyampaikan harapan agar pengukuhan kerjasama melalui pertukaran tenaga akademik dan pelajar dapat direalisasikan dan perancangan-perancangan kolaborasi seterusnya akan dapat dilaksanakan demi manfaat bersama.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Lebih 30,000 orang dibawa ke hospital akibat strok haba

    TOKYO, 22 SEPT – Jepun pada Ogos menyaksikan sejumlah 34,835 individu dibawa ke hospital di seluruh negara dengan gejala strok haba, ketika negara itu...