Oleh Nurdiyanah R. –
TUTONG, 29 JAN – Meskipun berbeza bangsa namun semangat silaturahim dalam kehidupan masyarakat di negara ini semakin utuh lebih-lebih lagi dalam sama-sama memeriahkan Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC).
Masyarakat di Daerah Tutong turut tidak ketinggalan dalam mengadakan kunjungan rumah terbuka di beberapa buah kediaman masyarakat Cina yang terletak di Kampung Petani dan sekitarnya, hari ini.
Berkongsi pandangannya kepada Media Permata, Pemangku Ketua Kampung Petani, Awang Zambri bin Haji Ibrahim mengungkapkan perasaan gembira kerana berpeluang membawa ahli keluarga dan sanak saudara berkunjung ke rumah-rumah keluarga terdekat dan juga jiran tetangga yang berbangsa Cina.
“Suasana rumah terbuka sebegini pastinya jelas membuktikan bahawa kita sebagai bangsa Melayu tidak salah mengadakan amalan berkunjung ke rumah-rumah sahabat handai mahu pun mereka yang mempunyai ikatan kekeluargaan walaupun berbeza agama,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, jiwa bersulam kasih sayang sesama masyarakat inilah yang perlu disemai dalam kehidupan sehari-hari, bukan hanya pada saat hari-hari keramaian.
“Saya begitu berharap detik-detik kemanisan amalan berkunjung ini turut akan kita rasai apabila berlangsungnya hari-hari keramaian bagi bangsa-bangsa yang lain dari tahun ke tahun.
“Dengan adanya amalan sebegini, ia akan lebih menyatupadukan lagi masyarakat di negara ini dengan nilai-nilai keBruneian kita, namun pastinya perlulah berlandaskan syariat-syariat Islam,” ujar Awang Zambri lagi.
