Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 11 April – Dalam usaha untuk meningkatkan pengetahuan dalam bidang kesenian dan kraf terutama sekali kemahiran mewarna, melukis, mengukir dan sebagainya, rombongan lebih 60 orang murid Kindergarten (KG) 2 Sekolah St James telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Kilang Maha Seramik Utama Enterprise di Jalan Singa Menteri Mumong, di sini, hari ini.
Ketibaan murid-murid tersebut yang diiringi oleh empat orang guru dengan diketuai oleh Susan P Escobido telah dialu-alukan oleh Pengurus Operasi, Jesrick Lemberle dan kakitangan lainnya.
Menurut Susan, lawatan itu juga adalah untuk memperkenalkan cara pembuatan seramik serta membuat ukiran-ukiran dan melukis ukiran pada baju-T yang merupakan antara kerja-kerja yang dilakukan di kilang syarikat berkenaan yang telah ditubuhkan sejak tahun 2007 lalu.
Syarikat tersebut merupakan anak Syarikat Kumpulan Adinin sebagai sebuah kilang pakar dalam kerja-kerja seramik dan pembekal barangan cenderahati, pembekal kostum berbentuk kemeja-T, pembuat kain rentang, pelekat, papan iklan dan sebagainya.
Semasa lawatan para pelajar tersebut, telah ditunjukkan kerja-kerja melukis, mengukir, mewarna dan sebagainya yang dilakukan pekerja di kilang itu di mana kira-kira 20 orang pekerja mengendalikan kilang berkenaan yang terdiri daripada pekerja tempatan dan juga asing.

Lawatan tersebut merupakan kali kedua dilakukan oleh Sekolah St James selepas yang pertama diadakan pada Sabtu lalu dengan membawa lebih 40 orang murid KG 3.
Menurut Dayang Susan lagi, lawatan sambil belajar itu merupakan usaha melatih pelajar tadika sekolah tersebut untuk melihat keadaan persekitaran mereka sebagai pembelajaran di luar daripada sekolah dan semasa di sekolah mereka akan diberikan latihan untuk menceritakan pengalaman yang mereka dapati melalui lawatan yang telah diadakan yang juga dihasratkan untuk melatih murid-murid agar berkebolehan dalam menyampaikan cerita dan ucapan di khalayak ramai.
“Pada tahun ini, murid-murid tadika Sekolah St James telah kami bawa untuk melawat ke beberapa tempat yang boleh meningkatkan pengetahuan dan pengalaman murid-murid antaranya lawatan ke Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC), lawatan ke Dewan Perpustakaan Kuala Belait, Radio Televisyen Brunei, Cawangan Daerah Belait dan hari ini di kilang seramik ini,” katanya.
Sementara itu, Jesrick pula memberitahu, mereka amat gembira menerima lawatan daripada murid-murid tersebut yang merupakan generasi muda yang bakal menjadi aset negara.
Dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang mereka perolehi melalui lawatan itu diharapkan supaya akan dapat meningkatkan lagi kebijaksanaan murid-murid itu dalam berfikir dan mampu bercerita melalui apa yang mereka lihat sepanjang lawatan ini, tambah beliau.