BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Feb – Kerajaan Arab Saudi menerusi Kementerian Haji dan Umrahnya telah bersetuju menetapkan kuota rasmi jemaah haji Negara Brunei Darussalam bagi musim haji tahun 1438H/2017M seramai 1,000 orang.
Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia adalah susulan pertemuan tahunan konsultasi pengurusan haji tahunan peringkat menteri antara Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam dan Kementerian Haji dan Umrah, Arab Saudi yang diketuai menteri masing-masing pada 16 Februari lalu di Jeddah.
Pada 6 Januari lalu, portal berita Saudi Gazzette melaporkan kerajaan Arab Saudi memutuskan untuk menarik balik pengurangan kuota jemaah haji yang dikenakan lima tahun lalu, bermula tahun ini. Pihak berkuasa tertinggi meluluskan cadangan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Haji, Putera Mahkota Muhammad bin Naif, untuk menguatkuasakan semula kuota haji kedua-dua jemaah tempatan dan asing yang wujud sebelum pengurangan diperkenalkan.
Portal berita Saudi Gazette memetik Menteri Haji dan Umrah, Muhammad Bantan sebagai berkata, pihak berkuasa berkaitan sudah membuat persiapan untuk menerima pertambahan jumlah jemaah untuk menunaikan haji tahun ini.
Di bawah sistem kuota yang dikuatkuasakan sedekad yang lalu, sesebuah negara dibenarkan menghantar seorang jemaah bagi setiap 1,000 penduduk Islam mereka.