Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JUN – Peranan ibu bapa sebagai tonggak utama kesejahteraan keluarga terus diperkukuhkan apabila seramai 45 orang pegawai dan kakitangan kerajaan menyertai Bengkel Kemahiran Keibubapaan Islam yang dianjurkan oleh Pusat Kajian Fiqh Kontemporari, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) baru-baru ini.
Bengkel dua hari yang telah dianjurkan buat kali keempat telah berlangsung di Dewan Tarbiah KUPU SB dan diadakan bersempena Hari Keluarga Kebangsaan 2025 dengan tema Ibu Bapa Berkualiti Harapan Keluarga, dengan matlamat memperkasakan nilai dan kemahiran kepimpinan dalam institusi keluarga Islam.
Sehubungan itu, majlis penutup bengkel yang berlangsung petang kelmarin diserikan dengan penyampaian sijil kepada para peserta, yang disempurnakan oleh Ra’es KUPU SB, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani.
Sepanjang bengkel, peserta diberi pendedahan menerusi enam modul interaktif yang dikendalikan oleh gabungan tenaga akademik KUPU SB serta kaunselor dan pakar psikologi jemputan. Modul-modul tersebut merangkumi aspek komunikasi berkesan, nilai keibubapaan Islam, pengurusan emosi dalam keluarga dan teknik menangani cabaran mendidik anak pada zaman moden.
Bengkel turut menampilkan sesi Forum Keluarga Islam bertajuk Kepimpinan Ibu dan Bapa Mengemudi Keluarga Sejahtera, yang membuka ruang diskusi tentang tanggungjawab ibu bapa sebagai pemimpin dalam membina keluarga harmoni, stabil dan diberkati.
Menurut Pengarah Pusat Kajian Fiqh Kontemporari KUPU SB, Hajah Aisyah Radhiah @ Rosni binti Haji Abdul Gani bengkel tersebut dihasratkan menjadi wadah menyantuni isu jurang generasi yang semakin melebar dan mengganggu komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak.
“Bengkel ini bukan sahaja menjadi platform penyampaian ilmu kekeluargaan Islam yang syumul, tetapi juga satu usaha memperkukuh aspirasi kepimpinan keluarga, dengan iltizam untuk membentuk keluarga sejahtera berteraskan nilai agama,” jelas beliau.
Bengkel tersebut diharapkan agar terus menjadi pemangkin kepada pembentukan ibu bapa berkualiti sebagai harapan utama dalam membina masyarakat yang berakhlak, harmoni dan seimbang dari segi rohani, emosi dan intelektual.





