Thursday, July 4, 2024
22.7 C
Brunei

    -

    KUPU SB anjur Pameran Pengurusan Kewangan Islam

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Pameran Pengurusan Kewangan Islam anjuran Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Kementerian Hal Ehwal Ugama telah dirasmikan hari ini pada majlis yang berlangsung di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan). 
     
    Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya merasmikan pameran berkenaan, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid. 
     
    Sebelum perasmian pameran berkenaan, Ra’es KUPU SB, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, selaku pengerusi jawatankuasa kerja pameran pengurusan kewangan Islam dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa pengurusan kewangan yang teratur dan bersistematik akan membantu  mensejahterakan kehidupan kita di muka bumi, sejajar dengan tuntutan Maqasid Syariah iaitu melindungi harta. 
     
    Beliau seterusnya menambah, Negara Brunei Darussalam semakin bergiat aktif dalam mengaplikasikan prinsip-prinsip Islam yang patuh syariah dalam sistem pengurusan termasuk bidang kewangan dan ekonomi. 
     
    Dalam hal itu juga, tambahnya, sebagai sebuah institusi pengajian tinggi Islam di negara ini, ia juga memainkan peranan yang signifikan untuk meningkatkan pengajaran dan kesedaran mengenai pentingnya pengurusan kewangan dari  perspektif Islam. 
     
    Dato Seri Paduka Haji Khairuddin (tengah) melawat salah satu pameran yang diadakan. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Secara kritisnya, dinamika pendidikan dan perguruan yang holisitik dengan tidak mengenepikan ilmu kewangan Islam berupaya membantu dalam meningkatkan kesedaran  sosial individu. 
     
    Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil kepada peserta-peserta pameran oleh tetamu kehormat majlis dan dilanjutkan dengan lawatan ke petak-petak pameran bersama dengan  jemputan-jemputan khas lainnya.  
     
    Lima buah petak pameran disediakan terdiri daripada beberapa agensi kewangan Islam  tempatan termasuk Syarikat Takaful Brunei Darussalam (TBD), Perbadanan Tabung Amanah  Islam Brunei (TAIB), Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Institut Kepimpinan dan Kewangan Islam Brunei (BILIF) serta beberapa buah fakulti dan pusat dari KUPU SB. 
     
    Turut hadir, timbalan setiausaha tetap di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, pengarah-pengarah urusan dan ketua eksekutif serta perwakilan daripada agensi-agensi kewangan Islam tempatan dan Yayasan.  
     
    Pameran berkenaan merupakan salah satu pengisian dalam Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (MYCE) 2024 yang memfokuskan kepada empat tema iaitu Islamik, Alam Sekitar, Teknologi dan Inovasi serta Hal Ehwal Semasa.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Banjir landa China, ribuan dipindah

    BEIJING, 3 JULAI – Hampir suku juta penduduk terpaksa dipindahkan di timur China ketika hujan lebat melanda sebahagian besar wilayah negara, menyebabkan Sungai Yangtze...