Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    KUPU SB anjur Riadah Walkaton

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OKT – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan kerjasama Kelab Fikrah Fakulti Usuluddin dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, KUPU SB telah mengadakan Riadah Walkaton bersempena Maulidur Rasul dan Hari Guru ke-33, hari ini.

    Walkaton bermula di kawasan letak kereta KUPU SB menuju Taman Eco-Corridor Bandar Seri Begawan dan berakhir di KUPU SB.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim. Turut hadir ialah Raes KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar.

    Antara matlamat dan objektif kegiatan berkenaan adalah bagi membudayakan gaya hidup sihat terutamanya bagi seorang guru agama yang profesional dan merupakan daie yang memerlukan kesihatan jasmani dan mental yang kuat.

    Selain itu, ia juga bagi meningkatkan kompetensi diri pelajar KUPU SB dan membina sahsiah yang baik dan mulia.

    Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai diketuai oleh Abdul Muizz bin Sapar, mahasiswa Program Sarjana Muda Perguruan Ugama Tahun 4. Acara diteruskan dengan senaman pemanasan badan yang diketuai oleh Raes KUPU SB dan pelepasan larian yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

    Acara riadah turut diserikan dengan jualan bazar yang diungkayahkan oleh mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB serta cabutan bertuah bagi warga KUPU SB.

    Haji Mohammad Rosli bergambar ramai bersama warga KUPU SB yang menyertai acara tersebut di Taman Eco-Corridor di ibu negara. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda