Tuesday, December 31, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    KUPU SB anjur wacana Al-Quran esok

    Oleh Pg Fairol RMF

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jun – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) menjemput orang ramai menyertai Majlis Nadwah Nuzul Al-Quran yang akan diadakan pada 15 Jun ini di Dewan Tarbiah, KUPU SB.

    Majlis Nadwah berupa wacana itu dianjurkan oleh Fakulti Usuluddin KUPUSB sempena Sambutan Nuzul Al-Quran 1438 Hijrah bersamaan dengan 2017 Masihi.

    Menurut pengerusi penganjur Haji Mohamad Azmi bin Haji Omar, Wacana Pendidikan Al-Quran yang julung-julung kalinya dikendalikan oleh Fakulti Usuluddin itu mengetengahkan beberapa orang ahli panel terdiri daripada tenaga akademik dari dalam dan luar KUPU SB.

    Mereka terdiri daripada pembentang KUPU SB iaitu Profesor Dr. Ali Syed Abdul Hamed Al-Syimi, Profesor Madya Syamsul Bahri Andi Galigo, Profesor Madya Dr Misnan Jamali, Dr Mikdar Rusdi dan Haji Mohamad Azmi bin Haji Omar serta dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Sarinah binti Haji Yahya.

    Bercakap pada satu sidang media hari ini beliau berkata, dalam wacana bertemakan ‘Al-Quran Pendidik Sepanjang Zaman’ itu, para pembentang akan membentangkan kertas kerja mengenai ilmu-ilmu Al-Quran dengan merangkumi tajuk-tajuk seperti al-Qisas wa al-Amthal dalam Al-Quran, al-Makki wa al-Madani dan keistimewaan keduanya, bentuk-bentuk mukjizat Al-Quran, hikmah penurunan Al-Quran beransur-ansur dan juga wanita dalam Al-Quran.

    Haji Mohamad Azmi semasa bercakap pada sidang media mengenai Wacana Pendidikan Al-Quran.
    Haji Mohamad Azmi semasa bercakap pada sidang media mengenai Wacana Pendidikan Al-Quran.

    Antara tujuannya program berkenaan adalah bagi memupuk kesedaran tentang kepentingan Al-Quran dan kandungannya dalam kalangan warga KUPU SB khasnya dan masyarakat luar amnya, selain itu mendidik para peserta supaya sentiasa mendampingi Al-Quran dan membacanya setiap hari serta menimbulkan rasa kecintaan terhadap Al-Quran.

    Menurut Haji Mohamad Azmi, sasaran peserta bagi wacana tersebut adalah daripada warga KUPU SB dan jabatan-jabatan kerajaan, sektor swasta, orang awam dan pelajar-pelajar sekolah merangkumi 400 orang.

    Beliau menyatakan harapan agar program berkenaan akan dapat mencapai matlamat untuk memartabatkan pendidikan Al-Quran dan meningkatkan rasa kecintaan masyarakat Brunei Darussalam terhadap Al-Quran.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda