Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yasin dan Tahlil sempena Majlis Konvokesyen ke-15 di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, hari ini.
Majlis berkenaan adalah khusus untuk Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, serta Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim.
Rombongan KUPU SB diketuai oleh Ra’es KUPU SB, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, dan turut disertai oleh pegawai-pegawai eksekutif, pegawai-pegawai utama, para pensyarah, pegawai dan kakitangan, serta bakal graduan lelaki KUPU SB.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin, diikuti dengan bacaan tahlil beramai-ramai yang dipimpin oleh Penolong Pensyarah KUPU SB, Awang Hilman bin Haji Salim.
Majlis diadakan bertujuan untuk memupuk semangat kesyukuran dan memperingati jasa serta pengorbanan Al-Marhum dan Al-Marhumah yang telah banyak menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara, di samping menjadi sebahagian daripada aktiviti kerohanian menjelang Konvokesyen KUPU SB.
Majlis Konvokesyen ke-15 KUPU SB dijadualkan berlangsung pada 16 Oktober nanti bertempat di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam.


