Thursday, January 30, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    KUPU SB hadiri program di Bangkok

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JAN – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah menghadiri ASEAN-USAID Partnership Program yang dianjurkan untuk Rangkaian Pendidikan Guru Asia Tenggara (AsTEN), yang telah diadakan pada 22 hingga 23 Januari di Bangkok, Thailand.

    Program kerjasama ASEAN – USAID (Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat) itu disertai oleh Ra’es KUPU SB, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani dan Pengarah Pusat Latihan dan Peningkatan Kompetensi KUPU SB, Dr Kharhan bin Haji Jait.

    Ia mengandungi siri perbincangan dan bengkel yang bertujuan untuk menyelaras serta mensejajarkan Pelan Pengukuhan Kapasiti dan Program Perkongsian dengan Badan-badan Sektoral ASEAN.

    Jalinan kerjasama itu diharapkan dapat memastikan semua pelan tindakan, kegiatan, serta usahasama yang dirangka seiring dengan matlamat pembangunan ASEAN.

    Penyertaan KUPU SB dalam program itu turut mencerminkan komitmen dan usaha berterusan sebagai Ahli Lembaga Pengarah AsTEN bagi Negara Brunei Darussalam.

    Selain itu, program itu juga berpotensi menjadi platform bagi kerjasama akademik dan penyelidikan antara institusi anggota dan pihak berkepentingan, yang boleh memberi manfaat kepada KUPU SB khususnya, dan Negara Brunei Darussalam amnya.

    Profesor Madya Dr Abdul Nasir bergambar ramai bersama peserta dari negara-negara ASEAN yang lain. – GAMBAR SERAHAN KUPU SB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda