Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Untuk menghayati dan mencintai bulan suci Ramadan yang penuh dengan kerahmatan dan keampunan ini, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah mengadakan Ihya Ramadan dengan Majlis Tausiah Ramadan dan Pembukaan Tadarus di Surau KUPU SB, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan Tausiah Ramadan ialah Pemangku Ra’es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar. Turut hadir ialah pegawai-pegawai utama, para pensyarah dan kakitangan KUPU SB serta mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB.
Dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar melalui Unit Kerohanian KUPU SB, Ihya Ramadan juga antara lain bertujuan untuk menyemai ketakwaan dalam kalangan warga KUPU SB dalam bulan penuh dengan kerahmatan dan mengambil iktibar perkara yang berkebajikan daripada perilaku yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W dalam bulan ini supaya dapat diaplikasikan dalam bulan-bulan seterusnya.
Objektif acara keagamaan ini pula adalah untuk menyemarakkan aktiviti-aktiviti keagamaan di sepanjang bulan Ramadan dan mengeratkan ikatan silaturahim dalam kalangan warga KUPU SB.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Surau KUPU SB, Pengiran Haji Mahmud bin Pengiran Haji Othman dan seterusnya Tausiah Ramadan yang disampaikan oleh Pemangku Ra’es KUPU SB.
Kemudian, majlis diteruskan dengan Majlis Tadarus Al-Quran yang dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Pemangku Ra’es KUPU SB dan bacaan Al-Quran Juzuk 1 bermula dari ayat 1 hingga 24 yang dipimpin oleh Haji Manan bin Haji Osman, manakala terjemahannya dibacakan oleh Haji Mohd Shahrol Azmi bin Haji Abdul Mulok.
Doa Selamat dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam pula dibacakan oleh Pengiran Haji Mahmud.