Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) akan memperkenalkan lapan program baharu di peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah bermula sesi akademik 2026/2027, yang memberi tumpuan kepada tiga bidang warisan intelektual dan budaya Melayu Islam iaitu Pengajian Jawi, Kitab Turath dan Kaligrafi Islam.
Perkara itu dikongsikan oleh Ra’es KUPU SB, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani semasa menyampaikan sembah alu-aluan pada Majlis Konvokesyen Ke-15 KUPU SB yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, hari ini.
Dalam sembah alu-aluannya menjunjung kasih atas perkenan keberangkatan Baginda ke majlis konvokesyen serta pengurniaan ijazah dan diploma kepada 225 graduan.
Menurut beliau, struktur program dan kurikulum kursus bagi program baharu tersebut telah disusun dan disahkan oleh Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan (MKPK) sebagai sebanding dengan Tahap 7 dan 8 dalam Kerangka Kelayakan Brunei Darussalam (BDQF), sekali gus melayakkan pemegang sijil diterima sebagai guru bertauliah.
Dalam ucapan itu juga, beliau menyatakan bahawa bagi menyokong pelajar Sarjana dan Doktor Falsafah menghasilkan penyelidikan berkualiti, KUPU SB melalui Pusat Pengajian Siswazah telah menganjurkan Siri Bimbingan (Coaching Series) yang membantu pelajar memperkukuh kemahiran penyelidikan.
Hasil usaha berkenaan, seorang calon program Ijazah Doktor Falsafah Perguruan Ugama (Pendidikan Islam) berjaya menempatkan diri di peringkat antarabangsa dengan menduduki tempat pertama dalam kategori Best Paper: Manuskrip, Khazanah Melayu Borneo dan Sejarah Islam Borneo Issue semasa International Student Paper Competition on Islamic Studies and Social Sciences, anjuran Institut Agama Islam Negeri Pontianak, Indonesia, yang disertai oleh lebih 100 peserta dari Brunei, Malaysia dan Indonesia pada 24 September 2025.
Sebagai pengiktirafan kepada kecemerlangan pelajar, beliau turut menyembahkan bahawa KUPU SB memperkenalkan dua anugerah baharu pada tahun ini, iaitu Anugerah Pengiktirafan Graduan Tepat Waktu (Graduate on Time) dan Anugerah Penyelidikan Cemerlang.

Anugerah Graduan Tepat Waktu diberikan kepada pelajar program Sarjana dan Doktor Falsafah yang berjaya menyiapkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan, manakala Anugerah Penyelidikan Cemerlang diberikan kepada pelajar yang menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi dan berimpak besar yang akan diterbitkan dalam bentuk buku ilmiah.
Dalam usaha meningkatkan daya saing pelajar, Pusat Bahasa KUPU SB turut memperkenalkan dua kursus elektif baharu, iaitu Bahasa Isyarat dan Bahasa Turkiye, yang menerima sambutan luar jangkaan daripada para pelajar.
Bermula sesi akademik 2026/2027, kedua-dua kursus ini akan dijadikan Kursus Elektif Wajib, selain turut diperkenalkan kursus Bahasa Urdu.
Bagi memastikan sistem pengajaran kekal relevan, KUPU SB kini telah beralih sepenuhnya kepada pendekatan Pembelajaran Berasaskan Hasil (Outcome-Based Education) mulai sesi akademik 2025/2026, yang menggantikan kaedah Pengajaran Berorientasikan Guru (Teacher-Oriented Education).
Beliau turut menyentuh bahawa bagi meningkatkan profesionalisme tenaga akademik, KUPU SB terus menggalakkan penyelidikan dan penyertaan dalam seminar antarabangsa.
Hasilnya, seorang tenaga akademik dari Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljama‘ah menerima Anugerah Best Research Paper (Islamic Innovation) manakala seorang lagi dari Fakulti Usuluddin meraih Anugerah Best Presenter dalam The 4th International Conference on Islamic Thoughts (PEMIKIR) 2025 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, pada 23 hingga 25 September 2025.
Selain itu, tenaga akademik KUPU SB kini aktif menyumbang kepada khidmat konsultasi dan masyarakat, menjadikan institusi ini sebagai Hub of Knowledge dalam memperkasa pengetahuan dan pendidikan Islam demi kesejahteraan ummah.
Dalam aspek pembangunan pelajar, beliau menyatakan bahawa KUPU SB menitikberatkan pembentukan jati diri dan sahsiah pelajar melalui program kerohanian seperti Aktiviti Antara Maghrib dan Isya’, Aktiviti Selepas Solat Subuh, Program Membaca Al-Qur’an dan Program Kepimpinan MIB.
Selain itu, Pusat Ilmu Teras turut memperkenalkan Program Tahsin Al-Qur’an bagi membantu pelajar meningkatkan kemahiran bacaan Al-Qur’an dengan betul sebagai usaha melahirkan generasi Negara Zikir.
Bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran, KUPU SB juga sedang giat menyediakan Manual Prosedur Kerja (MPK) sebagai panduan utama dalam sistem pengurusan akademik dan pentadbiran.
Pada tahun ini, KUPU SB turut memperkenalkan Anugerah Cemerlang Pengurusan Universiti, sebagai pengiktirafan kepada fakulti, pusat, bahagian dan unit yang menunjukkan prestasi terbaik dalam pengurusan universiti, bagi memupuk budaya kerja berpasukan, kreativiti dan inovasi.
Menutup sembah alu-aluannya, Raes KUPU SB menyatakan bahawa semua usaha dan inisiatif tersebut adalah sejajar dengan visi dan misi KUPU SB untuk terus memperkukuh kedudukan sebagai institusi unggul dalam pendidikan tinggi Islam, dengan hasrat agar KUPU SB mencapai status universiti penuh pada masa akan datang.

