Tuesday, April 22, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    KUPU SB mara separuh akhir Kejohanan Bola Sepak UBD

    Oleh Fadhil Yunus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) berjaya mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan Bolasepak Universiti Brunei Darussalam (UBD) 2021 Antara Institusi Pengajian Tinggi selepas meraih kemenangan 4-1 ke atas Kolej Perdagangan dan Teknologi Cosmopolitan (CCCT) yang berlangsung di Padang A Kompleks Sukan UBD hari ini.

    KUPU SB mengekalkan kedudukan mereka di tangga teratas Kumpulan A dengan sembilan mata, tiga mata di depan Politeknik Brunei (PB) yang berada di tempat kedua, sementara CCCT di tempat ketiga.

    KUPU SB mendahului perlawanan menerusi jaringan Muhd ​​Faez bin Zakaria pada minit ke-11 sebelum Azizi Hamiz bin A Hazis menggandakan kedudukan pasukannya pada minit ke-34.

    KUPU SB terus memimpin perlawanan 3-0 menerusi jaringan Mohd Amirul Hafizan bin Hashim empat minit kemudian, meninggalkan CCCT dalam kedudukan yang sukar.

    Penyerang KUPU SB, Salahuddin Al-Ayubi melihat percubaannya sedikit tersasar ketika mereka mencari gol keempat pada separuh masa kedua.

    Antara aksi para pemain semasa perlawanan antara KUPU SB dan CCCT yang berlangsung di Padang A Kompleks Sukan UBD semalam.

    CCCT cuba untuk bangkit dan mendapat dorongan ketika Abdul Wa’ie bin Haji Muhd ​​Hafiz menjaringkan gol melalui sepakan percuma yang cemerlang pada minit ke-53.

    Namun, harapan pasukan untuk bangkit diberikan tamparan hebat setelah Abdul Wa’ie dibuang padang hanya empat minit kemudian, tetapi sepakan penalti Salahuddin berjaya diselamatkan.

    Sekali lagi Azizi Hamiz menemukan jaringan hasil dari sepakan percuma melepasi penjaga gawang CCCT, Mohd Haziq bin Haji Armi Noor pada minit ke-60.

    Kejohanan ini diteruskan lagi dengan pertemuan Kolej Perdagangan Laksamana (LCB) yang mengungguli Kumpulan B menentang tuan rumah UBD.

    LCB akan mendapat tempat teratas sekiranya berjaya mengutip tiga mata sementara UBD dapat menyamakan kedudukan jika meraih kemenangan.

    Dua pasukan teratas dari setiap kumpulan akan mara ke pusingan separuh akhir pada 24 dan 26 Julai, sementara perlawanan tempat ketiga dan final akan diadakan pada 28 dan 31 Julai. 

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda