Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    KUPU SB raih tempat ketiga dalam Childcare Skills di China

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Pasukan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah berjaya meraih tempat ketiga dengan markah keseluruhan sejumlah 325.8 dalam Pertandingan Infant and Childcare and Education Skills yang berlangsung dari 24 Oktober lalu hingga hari ini di Guiyang, China.

    Pertandingan anjuran bersama Guiyang Preschool Education College China dan Southeast Asian Regional Centre for Early Childhood Care Education and Parenting (SEAMEO CECCP) sempena Minggu Kerjasama Pendidikan China-ASEAN itu disertai 11 pasukan dari universiti-universiti ASEAN termasuk Singapura, Thailand, Indonesia, Kemboja, Filipina dan Vietnam.

    Menyertai pertandingan mewakili KUPU SB ialah Penolong Pensyarah Fakulti Pendidikan KUPU SB, Pengiran Siti Katijah binti Pengiran Sulaiman selaku ketua kumpulan; Dayang Siti Nursyakirah binti Mohd Arif, mahasiswi Tahun 3 Program Sarjana Muda Perguruan Ugama selaku peserta kategori A iaitu penjagaan anak damit dan kanak-kanak baru lahir hingga tiga tahun serta Dayang Hanis Hafiizatul binti Hamid, mahasiswi Tahun 3 Program Sarjana Muda Perguruan Ugama selaku peserta kategori B iaitu kemahiran pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak umur tiga hingga lima tahun.

    Penyertaan dalam pertandingan berkenaan merupakan salah satu usaha berterusan pihak KUPU SB dalam mengembangkan dan memantapkan lagi pengetahuan dan kemahiran praktikal para pelajar dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak secara berterusan dan mengemaskinikan kurikulum kursus pendidikan awal kanak-kanak yang ditawarkan di KUPU SB sebagai kursus minor bagi mahasiswa dan mahasiswi secara teori dan praktikal.

    Selain itu, ia turut membuka peluang bagi perwakilan KUPU SB untuk mempelajari berkenaan aspek kemahiran khusus dalam hal ehwal penjagaan anak damit dan pengajaran kanak-kanak di bilik darjah yang dipraktik serta diamalkan di institusi-institusi pendidikan awal kanak-kanak di peringkat Asia serta seterusnya, berkongsi pengetahuan dan pandangan bersama dengan para peserta pelajar serta pensyarah dari universiti-universiti di negara anggota ASEAN lainnya.

    Wakil-wakil dari KUPU SB bergambar bersama piala yang dimenangi. – GAMBAR SERAHAN KUPU SB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda