Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JAN – Sempena Sambutan Israk dan Mikraj 1446H, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar petang tadi mengadakan Kuliah Umum bertajuk Pesan-pesan Peristiwa Israk Mikraj: Teladan Untuk Pendidikan yang berlangsung di Dewan Tarbiah, kolej universiti berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut, Raes KUPU SB, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani.
Kuliah Umum yang disampaikan oleh Penolong Kanan Profesor, Fakulti Usuluddin, KUPU SB, Dr Mikdar Rusdi, menyentuh mengenai dengan Israk dan Mikraj yang merupakan peristiwa atau mukjizat agung yang hanya boleh dijangkau dengan keimanan dan ketaqwaan.
Menariknya, ia juga merupakan perjalanan penuh bersejarah yang diaturkan oleh Allah SWT yang memaparkan kekuasaan dan kebesaranNya, sekali gus menjadi tonggak perintah ibadah sembahyang, syariat terpenting dalam keagungan agama Islam.
Adapun tujuan Kuliah Umum itu diadakan antara lain bagi menyemarakkan lagi Sambutan Israk dan Mikraj di samping menghayati perjalanan Israk dan Mikraj yang penuh dengan teladan dan pengajaran.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai eksekutif, pegawai-pegawai utama, para pensyarah, pegawai-pegawai dan kakitangan serta mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB.