Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    KUPU SB sertai OIC-CA 2023

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Untuk berkongsi pandangan dan maklumat seterusnya memperkenalkan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja dan negara zikir serta Baldatun Thayyibatun Warabbun Ghafur, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) menyertai Organization of Islamic Cooperation-Cultural Activities (OIC-CA 2023).

    Ia diadakan dari 7 hingga 14 Julai di Jakarta dan Samarinda serta Balikpapan Kalimantan Timur, Indonesia.

    Menyertai program OIC-CA berkenaan bagi pihak KUPU SB ialah Pengarah Pejabat Antarabangsa dan Perhubungan Awam, Pengiran Siti Katijah binti Pengiran Sulaiman dan Timbalan Dekan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Dayang Nurul Atteyia Bahtriyah binti Mohd Salleh.

    Pertemuan berkenaan juga bertujuan untuk mempromosikan KUPU SB sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang menawarkan program-program perguruan dan pengajian Islam di Negara Brunei Darussalam.

    Dengan tema Embracing Cultural Diversity and Interfaith Harmony for a Brighter Future Society, OIC-CA 2023 antara lain berobjektif untuk memajukan budaya kerjasama antara negara anggota OIC dengan tujuan menyebarkan nilai dan ajaran Islam khususnya dalam konteks belia, budaya dan pendidikan.

    Selain itu ia juga untuk mempamerkan kepelbagaian dan keindahan budaya dalam dunia Islam terutamanya dalam Asia serta meningkatkan kesedaran tentang peranan budaya sebagai platform yang berperanan untuk meningkatkan perhubungan dalam kalangan negara ahli dan budaya lain.

    Seterusnya, ia juga menyebarkan nilai-nilai Islam dalam kalangan belia dan menyumbang kepada mempromosikan persefahaman bersama antara orang Islam dan bukan Islam.

    Antara pengisian acara berkenaan termasuk persidangan peringkat tertinggi OIC, sesi dialog, forum, sesi simulasi diplomasi belia, mesyuarat-mesyuarat khas antara universiti dan agensi, pameran kebudayaan dan halalan tayyiban serta lawatan ke beberapa masjid, madrasah dan tempat kebudayaan di Indonesia.

    Penyertaan KUPU SB dalam OIC-CA 2023 merupakan satu langkah sokongan kepada sumbangan berterusan Negara Brunei Darussalam selaku anggota OIC khususnya dalam pengukuhan kepimpinan belia Islam melalui program-program pendidikan dan kebudayaan.

    Pengiran Siti Katijah, Dayang Nurul Atteyia Bahtriyah dan para peserta bergambar ramai pada majlis berkenaan. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda