Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Universiti Hadhramout, Yaman kelmarin mengadakan kunjungan ke Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) bagi membincangkan mengenai peluang kerjasama khususnya dalam bidang pendidikan perguruan, pertukaran pelajar, libat sama komuniti, pelaksanaan penyelidikan bersama dan penganjuran persidangan dan seminar.
Kunjungan yang berlangsung di Bilik Taqwa, KUPU SB itu dialu-alukan oleh Ra’es KUPU SB, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani yang seterusnya mempengerusikan perbincangan bersama.
Kunjungan ini diteruskan dengan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KUPU SB dengan Universiti Hadhramout. Menandatangani bagi pihak KUPU SB ialah Ra’es KUPU SB, manakala bagi pihak Universiti Hadhramout pula ditandatangani oleh presiden universiti berkenaan, Profesor Dr Mohammed Saeed Khanbash.
Sebelum menandatangani MoU berkenaan, Ra’es KUPU SB, terlebih dulu mengalu-alukan kedatangan delegasi dan berharap bahawa dengan termeterainya MoU itu akan dapat menjalinkan lagi hubungan kerjasama yang boleh diterokai dalam bidang-bidang yang tertentu.
Hadir menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut adalah penolong-penolong Raes KUPU SB, pegawai-pegawai utama KUPU SB, timbalan presiden akademik Universiti Hadhramaout dan empat orang delegasi lainnya.
Pada hari yang sama, KUPU SB menerima kunjungan rombongan daripada Universitas Islam Negeri Siber Syekh Nurjati Cirebon (UINSSC), Indonesia yang diketuai oleh Rektor UINSSC, Profesor Dr Aan Jaelani bertempat di Bilik Hikmah, KUPU SB.
Mengalu-alukan bagi pihak KUPU SB ialah Penolong Ra’es (Penyelidikan, Pengantarabangsaan, Perkhidmatan), Yang Mulia Dr Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha serta beberapa pegawai utama KUPU SB.
Terdahulu, taklimat berkenaan latar belakang dan program akademik KUPU SB disampaikan oleh Pengarah Pejabat Antarabangsa dan Perhubungan Awam KUPU SB, Yang Mulia Pengiran Siti Katijah binti Pengiran Sulaiman.
Kunjungan turut diteruskan dengan majlis menandatangani MoU antara KUPU SB dengan UINSSC bagi pelaksanaan kerjasama beberapa bidang akademik termasuk penyelidikan, pertukaran pelajar dan libat sama komuniti.